47 individu didakwa skim penipuan Covid-19 bernilai AS$240 juta


SERAMAI 47 individu di Minnesota didakwa berkaitan skim penipuan bantuan Covid-19 bernilai AS$240 juta.

Pengarah FBI Christopher Wray berkata ia menggambarkan rancangan buruk mencuri dana awam untuk menjaga kanak-kanak membabitkan skim penipuan bantuan pandemik terbesar.

Jabatan Kehakiman mendakwa defendan memindahkan puluhan juta dolar yang dikeluarkan di bawah Program Pemakanan Kanak-Kanak Persekutuan yang sepatutnya untuk memberi makanan kepada kanak-kanak memerlukan semasa pandemik Covid-19.

Antara yang didakwa ialah pengasas dan pengarah eksekutif Feeding Our Future, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang juga penaja Program Pemakanan Kanak-Kanak Persekutuan, Aimee Bock, 41.

“Pekerja Feeding Our Future merekrut individu dan entiti untuk membuka tapak Program Pemakanan Kanak-Kanak Persekutuan di seluruh Minnesota.

“Laman ini dicipta dan dikendalikan defendan serta beberapa yang lain, tetapi sebenarnya menipu dengan mendakwa menyalurkan makanan kepada ribuan kanak-kanak sehari.

“Sebaliknya, mereka beri invois makanan palsu menggunakan nama palsu kanak-kanak,” menurut Jabatan Kehakiman dalam satu kenyataan.

Menurut Jabatan Kehakiman, Feeding Our Future mendakwa membuka lebih 250 tapak di seluruh Minnesota semasa wabak Covid-19.

“Defendan menggunakan hasil skim penipuan mereka untuk membeli kenderaan mewah, hartanah kediaman dan komersial di Minnesota serta harta di Ohio dan Kentucky, hartanah di Kenya dan Turki serta membiayai perjalanan ke luar negara,” kata jabatan itu.

Defendan berdepan pelbagai pertuduhan daripada penipuan terhadap program persekutuan, rasuah dan pengubahan wang haram. – AFP, 21 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen