11 murid terbunuh serangan udara di Myanmar


Buku dan beg sekolah bersepah selepas insiden serangan udara dilancarkan junta di sebuah sekolah di Sagaing, Depeyin di Myanmar. Seramai 11 kanak-kanak maut. – Gambar EPA, 21 September, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA 11 murid maut dalam serangan udara dan tembakan di sebuah kampung di Myanmar, menurut agensi perlindungan kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Junta berkata serangan itu menyasarkan kepada pemberontak yang bersembunyi di kawasan berkenaan.

Ketua PBB Antonio Guterres mengutuk serangan itu, di mana pejabatnya menyatakan sekurang-kurangnya 13 maut termasuk 11 kanak-kanak.

Myanmar berada dalam ketegangan sejak rampasan kuasa dilakukan tentera pada Februari tahun lalu, dengan hampir 2,300 orang awam terbunuh dalam kekerasan junta terhadap pembangkang, menurut kumpulan pemantau tempatan.

Wilayah Sagaing berdepan dengan pertempuran paling sengit, dan pertembungan antara pejuang anti rampasan kuasa dengan tentera, menyebabkan keseluruhan kampung dibakar.

Unicef mengutuk serangan di Sagaing, Depeyin itu.

“Pada 16 September, sekurang-kurangnya 11 kanak-kanak maut dalam serangan udara dan tembakan dilepaskan di kawasan orang awam,” kata Unicef dalam satu kenyataan.

Katanya, sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat dan bukan dalam sasaran serangan.

“Sekurang-kurangnya 15 kanak-kanak di sekolah itu masih hilang,” kata Unicef. – AFP, 21 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen