RUSIA dan Ukraine bersetuju untuk menukar 200 banduan menerusi salah satu pertukaran terbesar dalam perang tujuh bulan, kata Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan kepada televisyen AS.
Erdogan membuat pengumuman itu selepas perbincangan minggu lalu dengan Presiden Rusia Vladimir Putin di luar sidang kemuncak serantau di Uzbekistan.
Erdogan bagaimanapun tidak memberikan butiran penuh tentang pertukaran itu, memanggil orang yang ditukar itu sebagai “tebusan” dan tidak menyatakan berapa ramai yang ada dari setiap pihak.
“Dua ratus tebusan akan ditukar atas persetujuan antara pihak. Saya fikir satu langkah penting akan diambil ke hadapan,” kata Erdogan kepada televisyen PBS lewat Isnin.
Anggota NATO, Turkiye cuba untuk kekal berkecuali dalam konflik, membekalkan dron tempur ke Kyiv dan menjauhi sekatan yang diketuai Barat terhadap Moscow.
Erdogan berkata beliau mempunyai tanggapan bahawa Putin bersedia untuk menamatkan perang.
“Kami mempunyai perbincangan yang sangat luas dan beliau sebenarnya menunjukkan kepada saya bahawa beliau sanggup mengakhiri ini secepat mungkin,” kata Erdogan.
“Itu tanggapan saya kerana keadaan sekarang agak bermasalah.”
Erdogan berkata pemulangan semula tanah yang ditawan oleh Rusia akan menjadi bahagian penting dalam sebarang gencatan senjata.
“Jika keamanan akan diwujudkan di Ukraine, sudah tentu mengembalikan tanah yang diceroboh akan menjadi penting,” katanya.
Ditanya jika Putin harus bertanggungjawab menceroboh Ukraine, Erdogan berkata tidak ada faedah untuk berpihak.
“Kami tidak akan mempertahankan seorang pemimpin. Sebaliknya, kami perlu mencari penyelesaian yang akan memuaskan hati semua pihak yang terlibat.”
Erdogan telah berulang kali cuba membawa Putin dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky bersama di Turkiye untuk rundingan gencatan senjata. – AFP, 20 September, 2022.
Komen