KETUA Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki hari ini mencabar Muhyiddin Yasin mengarahkan ahli-ahli Parlimen Bersatu menarik sokongan kepada Perdana Menteri Ismail Yaakob jika yakin kerajaan gagal menguruskan ekonomi negara.
“Jika Tan Sri Muhyiddin meyakini kerajaan hari ini gagal urus ekonomi dan perlu adakan PRU15, maka jangan hanya menyalak dan menggertak.
“Buktikan dengan tindakan sebagai anak jantan untuk segera arah anak-anak buah Tan Sri dalam kerajaan untuk menarik sokongan terhadap perdana menteri.
“Kalau berani tekan butang sekarang,” katanya di Facebook.
Asyraf mencabar Muhyiddin selepas presiden Bersatu itu semalam berkata PRU15 elok diadakan sekarang kalau Ismail Sabri tidak dapat mencari penyelesaian kepada masalah ekonomi yang terus membelenggu rakyat.
Katanya pilihan raya umum sekarang perlu untuk memilih sebuah kerajaan yang lebih cekap dan prihatin serta bebas rasuah.
Muhyiddin berkata beliau tidaklah seperti Barisan Nasional (BN) yang menekan perdana menteri supaya segera membubarkan Parlimen, tetapi terfikir mungkin itu jalan yang ada untuk menyelamatkan keadaan.
“Saya belum sampai ke tahap mahu mendesak perdana menteri supaya membubar Parlimen.
“Tetapi saya pun terfikir, jika perdana menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan Muhyiddin itu kemudian dibidas Ismail Sabri, katanya kalau betul kerajaan gagal menguruskan ekonomi negara sudah tentu kegagalan itu juga berpunca daripada menteri Kabinet dari Bersatu.
Tambah perdana menteri, kalau kerajaan yang diterajuinya gagal, maka Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang diketuai Muhyiddin pun tentu gagal juga kerana tugasnya adalah menasihati kerajaan.
“Dari segi ekonomi Mustapa Mohamed ada mengurus ekonomi dan kita ada Majlis Pemulihan Ekonomi Negara yang dipengerusikan Muhyiddin sendiri.
“Majlis (MPN) pun menasihatkan kerajaan jadi tanggungjawab itu adalah tanggungjawab bersama. Kalau gagal maknanya semua gagal. Semua gagal termasuk Majlis Pemulihan Ekonomi juga gagal,” katanya dipetik media di Putrajaya semalam.
Meneruskan kritikannya terhadap Muhyiddin, Asyraf berkata ekonomi Malaysia hari ini jauh lebih baik berbanding semasa sekatan pergerakan ‘separuh masak paling’ dilaksanakan di seluruh negara dan Parlimen digantung beberapa bulan ketika ahli Parlimen Pagoh itu perdana menteri.
“Jadi siapa sebenarnya yang gagal urus ekonomi.
“Siapa menteri kanan ekonomi merangkap menteri MITI? Siapa menteri perancang ekonomi (EPU)? Dan siapa pengerusi Majlis Pemulihan Ekonomi? Bukankah semuanya termasuk Tan Sri daripada parti Bunga?
“Sekali lagi siapakah yang sebenarnya gagal?” soalnya. – 20 September, 2022.
Komen