GUNUNG berapi di utara Tonga meletus lapan kali dalam tempoh 48 jam lalu, menurut agensi geologi negara Pasifik itu, yang mengeluarkan amaran kepada aktiviti laut untuk menjauhi pulau gunung berapi berkenaan.
Gunung berapi Home Reef meletus sejak 10 hari lalu, mengeluarkan lava dan mengeluarkan asap serta debu sejauh kira-kira 3km di udara.
Letusan Home Reef yang terbaru dianggap sebagai berisiko rendah kepada penduduk Vava’u dan Ha’apai – dua pulau Tonga yang paling ramai penduduk, kata pasukan pemantau gunung berapi dalam satu kenyataan.
Tetapi paras amaran dinaikkan hari ini susulan jangka masa letusan semakin kerap.
Juruterbang diberi amaran ketika terbang menerusi ruang angkasa berhampiran gunung berapi itu susulan paras jingga dikeluarkan untuk Home Reef.
Nelayan diarahkan tidak keluar belayar dalam jarak 4km dari Home Reef dan berhati-hati dengan debu gunung berapi.
Aktiviti seismik dianggap biasa di sekitar Tonga, sebuah negara kepulauan yang kecil dengan kira-kira 100,000 penduduk di sekitar 171 pulau.
Pada Januari tahun ini, letusan berlaku di gunung berapi Hunga-Tonga-Hunga-Ha’apai, antara yang paling kuat dalam sejarah moden, menurut penyelidik Unviersiti Bath. – AFP, 20 September, 2022.
Komen