4 dikhuatiri maut, taufan Nanmadol landa Jepun


Taufan Nanmadol menyebabkan pokok tumbang, tingkap pecah dan hujan terlalu lebat dalam tempoh 24 jam di beberapa bahagian di Miyazaki dengan dua kematian disahkan. – Gambar EPA, 20 September, 2022.

EMPAT ditemui mati selepas taufan Nanmadol membadai Jepun hujung minggu lalu, kata jurucakap kerajaan.

Taufan itu menyebabkan tanah runtuh di Kagoshima pada Ahad dan membawa hujan lebat di seluruh wilayah Kyushu sebelum beralih ke pantai barat.

Pagi tadi, taufan itu mulai bertukar kepada angin pusar ketika ia merentasi pantai barat daya sebelum menuju ke lautan.

Taufan itu turut menyebabkan pokok tumbang, tingkap pecah dan hujan terlalu lebat dalam tempoh 24 jam di beberapa bahagian di Miyazaki dengan dua kematian disahkan.

Jurucakap kerajaan Hirozaku Matsuno berkata dua lagi mangsa ditemui dipercayai sudah meninggal dunia.

Pihak berkuasa juga giat melakukan operasi mencari orang hilang.

Sekurang-kurangnya 114 mangsa cedera dengan 14 daripadanya cedera parah.

Setakat awal hari ini, kira-kira 140,000 rumah masih terputus bekalan elektrik di seluruh negara, terutama di Kyushu.

Jepun pada masa ini berada dalam musim taufan dan berdepan sekitar 20 taufan seumpama itu setiap tahun. – AFP, 20 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen