SEORANG pendakwa raya yang menyiasat kes jenayah kebencian dibunuh di luar pejabat pendakwa raya Ecuador di Guayaquil semalam, kata pihak berkuasa.
Edgar Escobar ditembak sekumpulan lelaki bersenjata di luar bangunan pejabatnya di bandar pelabuhan itu, kata pejabat pendakwa raya di Twitter.
Insiden itu berlaku ketika Ecuador sedang bergelut dengan lonjakan kes berkaitan dengan pengedaran dadah di mana kumpulan gengster yang bersaing melakukan keganasan di Guayaquil dan sistem penjara.
Ecuador terletak antara Colombia dan Peru, dua negara pengeluar kokain terbesar dunia.
Motif pembunuhan masih tidak diketahui.
Pejabat pendakwa raya berkata dua suspek ditahan dalam operasi polis di bandar itu.
“Dalam operasi itu polis turut menahan sebuah motosikal dan senjata digunakan untuk menembak mangsa dirampas,” katanya.
Bulan lalu, seorang hakim di Lago Agrio, bandar Amazon di sempadan Colombia ditembak mati.
Dua bulan lalu, seorang pendakwa raya di Manta turut ditembak.
Pembunuhan Escobar berlaku tidak lama selepas kehilangan peguam Maria Belen Bernal, 34, dari pusat latihan polis di Quito.
Seminggu lalu, Bernal ke pusat latihan berkenaan untuk bertemu suaminya yang bekerja di situ, German Caceres.
Jenayah meningkat di negara yang mempunyai 18 juta populasi itu. Pada 2021 kadar pembunuhan hampir dua kali kanda berbanding tahun sebelumnya. – AFP, 20 September, 2022.
Komen