Dajal pilihan raya


Faisal Tehrani

TIDAKLAH sesulit mana memikirkan mengapa ada makhluk beria-ia menuntut Dewan Rakyat segera dibubarkan, malah berikrar mahu meredah banjir jika kebetulan musim berkempen dan tarikh pilihan raya itu jatuh ketika musim tengkujuh yang buruk. Tidak sesusah mana memikirkan sebabnya.

Tekad makhluk ini kononnya sanggup mengharung air bah itu memang digelakkan ramai orang dek memikirkan ada pimpinan Umno yang dimarahi mangsa banjir di pusat pemindahan banjir tahun lalu.

Terdapat banyak video tular yang mengisahkan perit basah dan jerih lumpur rakyat. Memori kematian yang tragis masih belum padam dari ingatan mereka. Bukan itu sahaja, rakyat juga masih ingat acara potong kek oleh makhluk yang lapar kuasa ini ketika Malaysia sedang tenggelam.

Jadi pemimpin yang berkuasa di peringkat persekutuan nampaknya tidak kisah kalau kita rakyat mati lemas asalkan mereka dapat berkuasa.

Pemimpin yang tidak peka dan jenis tidak kisah ini pada akhir zaman nanti diberi label “dajal”.

Selain makhluk itu yang nampaknya menggelupur panik meratib PRU-PRU tak habis-habis, Hadi Awang juga menzahirkan kepanikan yang bersangatan. Dalam satu fatwa politik yang berbahaya, Hadi menyatakan ramai kalangan pemimpin PH tidak beriman (berakidah) dan bermoral (berakhlak) serta secara terbuka mengumpulkan kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah.

Tidak dapat tidak kenyataan Hadi terhadap pembangkang itu perlu dibaca bukan sebagai serangan politik tetapi kini mengacu kepada isu yang membabitkan soal akidah pemimpin pembangkang.

Kenyataan di atas adalah satu bentuk kepanikan yang liar. Hal ini perlu diberi perhatian memandangkan Hadi pernah melakukan perkara hampir serupa dalam tahun 1980an dengan Amanat Haji Hadi di Banggol Peradong, Terengganu yang ‘mengkafirkan Umno’ sehingga berlakunya perpecahan.

Jadi pemimpin yang berkuasa di peringkat persekutuan nampaknya tidak kisah kalau kita rakyat saling kafir mengkafirkan dan tuduh menuduh; yang penting mereka kelak dapat berkuasa.

Pemimpin yang menggalakkan perpecahan di akhir zaman nanti diberi label “dajal”.

Salah satu kemungkinan panik nak pilihan raya ialah khabar angin bahawa Parlimen boleh dibubarkan beberapa hari selepas bajet dibentangkan. Pada mulanya Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pernah menafikan khabar angin Bajet 2023 akan diawalkan; pun ternyata khabar angin itu menjadi khabar nyata apabila ia diawalkan.

Pembubaran Dewan Rakyat pada saat bajet belum diluluskan adalah sesuatu yang bersalahan dengan semangat demokrasi. Ia meletakkan rakyat sebagai tebusan jika bajet itu dipenuhi dengan gula-gula. Seolah-olah rakyat dijadikan anjing yang menyalakkan tulang.

Ia juga dapat dikatakan sebagai satu korupsi terang-terangan kerana sebarang pemberian oleh kerajaan terdahulu itu akan menjadi tergantung dengan pembangkang berada di pihak yang rugi.

Ia juga meletakkan rakyat seperti anjing yang terpaksa menggonggongkan umpanan. Hal ini akan memberi Malaysia satu citra buruk di arena antarabangsa.

Pilihan raya sejurus pembentangan belanjawan dengan itu merupakan satu kepanikan yang wajar ditolak keras. Ia hanya menampakkan bagaimana pemimpin yang berkuasa di peringkat persekutuan tidak kisah kalau rakyat diperbodohkan, asalkan mereka boleh terus berkuasa.

Pemimpin yang niatnya membebalkan rakyat tidak boleh dipercayai ikhlas untuk memberikan kita yang terbaik dalam hidup. Mereka inilah yang akan mengabaikan rakyat di saat inflasi mengeras, dan ekonomi meleset. Mereka inilah yang akan membelakangkan rakyat jika berlaku malapetaka kewangan. Ini kerana mereka tahu, rakyat boleh digula-gulakan, dan boleh dianjingkan.

Untuk mengajarkan pemimpin politik yang gelojoh ini ada baiknya Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kelak menolak nasihat dan permintaan Ismail Sabri Yaakob berhubung pembubaran Parlimen jika tarikh yang dikemukakan memang tidak munasabah, sepertinya dalam musim tengkujuh.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan, pihak baginda tuanku boleh dan wajar mengambil kira saranan dan penambahbaikan perjalanan dan sistem Pilihan Raya negara ini seperti yang pernah dikemukakan oleh ERC atau Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC).

Jawatankuasa ini mengemukakan 49 syor reformasi pilihan raya selepas ditubuhkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan pada Ogos 2018.

ERC ditugaskan untuk mengkaji setiap aspek berkaitan dengan sistem, proses serta undang-undang pilihan raya Malaysia agar kita tidak dimalu dan diaibkan di peringkat antarabangsa. Memandangkan baginda Yang Dipertuan Agong begitu rapat dengan Raja Inggeris yang baharu, Raja Charles III, tidaklah aib jika pilihan raya kita setaraf dengan amalan demokrasi maju di peringkat antarabangsa.

Laporan ERC tersebut antara lain menyarankan penetapan tarikh pembubaran Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri enam bulan sebelum tarikh sebenar. Bukan sewenang-wenang dilakukan seolah-olah negara ini bapa dajal yang punya.

Menurut bekas pengerusi ERC Ab Rashid Ab Rahman laporan ini telah diserahkan ketika pentadbiran kerajaan di bawah Muhyiddin Yassin akan tetapi kelihatan disenyapkan sahaja.

Rashid dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight merungut bagaimana “pertanyaan-pertanyaan (mengenai laporan) kita buat itu tak dijawab hingga kerajaan PN (Perikatan Nasional) jatuh, perdana menteri berubah, bertukar kepada yang ada sekarang. Syor ERC sudah melalui tiga tangan perdana menteri”.

Dajal memang akan buat pekak dan tuli jika apa-apa yang diutarakan itu mendatangkan kebaikan buat rakyat dan mudarat untuk agenda dirinya.

Saya amat yakin semua syor dan rancangan yang diutarakan oleh ERC ini telah pun tiba ke pengetahuan Raja-raja Melayu. Ini kerana Timbalan Yang Dipertuan Agong yang juga Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pernah melancarkan  buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia (Tanding, Pilih, Menang, Tadbir) karya Rashid dan Dr G. Manimaran. Saya berada dalam majlis pelancaran tersebut pada 22 Mac, 2022.

Dalam titah ucapannya, baginda menggariskan apa yang dinamai pilihan raya yang adil. Menurut Sultan Nazrin, “Pilihan Raya yang bebas dan adil membolehkan semua warganegara, parti, calon dan media menikmati hak asasi mereka, merangkumi kebebasan bersuara, berpersatuan, bergerak dan berhimpun; bebas daripada ugutan, bebas dari tekanan dan bebas dari keganasan; serta bebas mendapat akses kepada maklumat dan kemudahan media.

“Pilihan raya yang bebas dan adil memastikan bahawa semua calon dan semua parti bersaing berasaskan layanan yang saksama, berpandukan undang-undang, dalam gelanggang dan padang permainan yang sama rata.

“Di bawah prinsip ini, perlu ada pemisahan yang jelas antara badan kerajaan dan parti politik, dan garis panduan yang menetapkan kemudahan awam dan sumber yang tidak boleh digunakan secara tidak adil.

“Pilihan raya yang bebas dan adil, turut melindungi hak semua rakyat untuk mendapat keadilan, dan hak untuk mengundi secara rahsia.”

Saya percaya baginda tuanku kita semua dapat mencontohi kewibawaan mendiang Queen Elizabeth ketika memerintah di mana Queen Elizabeth menolak sebarang langkah kudeta terhadap kerajaan yang dipilih secara demokratik.

Majlis Raja-raja menurut hemat saya tidak boleh dan tidak wajar tunduk kepada gesaan pembubaran Dewan Rakyat tanpa sebab yang meyakinkan. Apatah lagi jika gesaan itu berbentuk dorongan daripada mereka yang beragenda antara lain kerana mempunyai kes mahkamah berkait jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Jangan didengar tuanku, sebarang-barang seruan bermacam-macam dajal ini. Mereka tidak berminat untuk berkhidmat buat umat; yang menjadi rasuk mereka hanyalah satu – kuasa untuk terus mabuk menyangak dan merompak. – 20 September, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen