Hanya penyokong Umno mahu pilihan raya segera, kata kajian Ilham Centre


Mohd Farhan Darwis

Pengarah eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar tinjauan pihaknya mendapati majoriti mahu PRU selepas tamat penggal kerana rakyat tidak terasa ada masalah dalam pentadbiran kerajaan, masalahnya cuma parti politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2022.

HANYA sekumpulan kecil pengundi terdiri daripada ahli dan penyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) yang mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan secepat mungkin, kata penyelidik Ilham Centre merujuk tinjauan firma itu baru-baru ini.

Tinjauan itu dibuat sekitar Ogos ketika Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob terus didesak membubarkan Parlimen segera. Kajian melibatkan kira-kira 1,500 responden di seluruh negara yang mewakili demografi pengundi.

Pengarah eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata sebahagian besar pengundi sebaliknya mahukan kerajaan Ismail Sabri, yang juga naib presiden Umno, bertahan sehingga tamat penggal, iaitu Julai 2023.

“Majoriti pengundi memang mengkehendaki kerajaan ini sehingga tamat penggal, bukan sebab mereka sokong kerajaan tetapi mereka tak merasakan adanya keperluan untuk diadakan pilihan raya umum secepat mungkin.

“Maksudnya kalau perlu, kerajaan boleh bertahan hingga habis penggal,” kata Hisomuddin, kepada The Malaysian Insight.

Namun katanya, kajian juga mendapati sekiranya kerajaan mahu menyegerakan PRU15, antara tempoh yang sesuai ialah sebelum Ramadan, iaitu sekitar Mac tahun depan.

“Setakat data kami, majoriti pengundi nak sehingga tamat penggal tapi sekiranya kerajaan nak bubarkan Parlimen selain tamat penggal ialah sebelum puasa tahun depan.

“Puasa dengan raya dah kira gencatan senjata. Orang tak ambil tahu pasal politik, semua beribadah dan nak sambut raya, jadi itu alternatif selain (tunggu sehingga) tamat penggal,” katanya.

Menurut Hisomuddin, kajian terhadap segmen pengundi mengikut etnik juga mendapati majoriti pengundi Cina dan India mahukan Ismail Sabri menamatkan penggal perkhidmatannya.

“Dapatan kami adalah kenyataan, yang mengkehendaki PRU awal ini cuma orang Umno sahaja. Kalau ikut semua segmen yang hanya nak PRU awal hanya orang parti, lebih spesifiknya Umno dan BN. Pembangkang tak nak.

“Dapatan ikut kaum juga, pengundi Cina tak nak, India pun tak nak, memang spesifik orang parti, terdiri daripada BN sahaja.

“Tetapi majoritinya, berdasarkan kajian Ilham Centre, nak tamat penggal sebab rakyat tak terasa ada masalah (pentadbiran kerajaan), masalahnya cuma parti politik, rakyat mahu ruang bernafas,” kata Hisomuddin.

Kajian itu juga antara lain mendapati terdapat kelompok pengundi yang menolak PRU15 dilaksanakan pada hujung tahun antara November dan Disember berikutan kemungkinan negara bakal berhadapan musim tengkujuh, katanya.

“Kajian kami menunjukkan ada yang tidak bersetuju PRU15 diadakan pada akhir tahun kerana secara tradisinya kita akan berdepan musim tengkujuh,” kata Hisomuddin.

Pihaknya tidak menolak, pelaksanaan PRU15 pada masa itu boleh menjadi kelebihan buat gabungan BN memandangkan jangkaan peratusan keluar mengundi rendah disebabkan musim tengkujuh.

Beliau bagaimanapun melihat rakyat juga boleh menghukum mereka sekiranya pilihan raya dibuat pada masa itu.

“Kelebihan bagi BN dengan unjuran bila musim hujan peratusan keluar mengundi rendah mungkin dilihat itu sebagai memberi keuntungan kepada BN.

“Tapi sebenarnya unjuran PRU berbeza. Emosi pengundi akan turun dengan marah sebagai tanda protes kepada kerajaan, itu boleh berlaku.

“Itu risiko di luar kawalan bagi BN. Risiko besar dalam keadaan tak menentu atas faktor untungkan mereka risikonya tetap ada, orang keluar atas dasar marah.

“Perkara ini sangat terkesan, tambahan dengan prestasi kerajaan dalam isu ringgit makin merosot, ekonomi tak bertambah baik, perkara itu sangat berisiko,” tambahnya.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah, sebelum ini dilapor berkata ada kemungkinan banjir besar berlaku sekiranya PRU15 dilaksanakan pada pertengahan November kerana angin monsun timur laut aktif ketika itu.

Keadaan waktu itu katanya berisiko untuk berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hujung minggu berkata parti Melayu itu sentiasa bersedia jika PRU15 diadakan lebih awal, termasuk jika berlangsung sewaktu musim tengkujuh.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu seringkali mendesak Ismail Sabri segera membubarkan Parlimen untuk memberi laluan PRU15.

Ketua Umno Bahagian Arau Shahidan Kassim mencadangkan agar dibentuk satu jawatankuasa mengkaji masa sesuai untuk PRU diadakan.

Ini berikutan, sekiranya PRU berlaku pada hujung tahun, ia bakal memberikan impak kepada kehadiran pengundi. – 20 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen