Askar elit Burkina Faso dibicarakan kes bunuh 1990


TIGA ahli bekas tentera pengawal presiden pemerintahan Blaise Compaore dibicarakan semalam atas tuduhan membunuh seorang pemimpin persatuan pelajar pada 1990.

Boukary Dabo mengetuai persatuan pelajar kebangsaan di negara Afrika Barat itu yang mencetuskan protes terhadap pemerintahan kuku besi Compaore yang hanya berakhir ketika kebangkitan rakyat pada 2014.

Pelajar jurusan perubatan itu diculik tentera kumpulan lelaki bersenjata pada 19 Mei, 1990 dan dibawa ke kem utama dikendalikan rejimen keselamatan presiden.

Dabo diseksa hingga mati di situ dan ditanam di Po, kira-kira 150km dari ibu nengeri Ouagadougou.

Tertuduh didakwa bersubahat dalam melakukan penahanan dan penculikan haram, memukul dan menyebabkan kecederaan hingga maut tanpa niat membunuh.

Mereka juga didakwa menyembunyikan mayat.

Tiga defendan itu termasuk Jeneral Gilbert Diendere, yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana pembabitannya dalam pembunuhan presiden Thomas Sankara pada 1987 bagi membolehkan Compaore memegang kuasa.

Jeneral itu yang turut didakwa mengarahkan mayat pelajar itu ditanam, mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.

Defendan kedua Mamadou Bamba pada 2015 membacakan kenyataan berkenaan cubaan rampasan kuasa pemimpin secara langsung di televisyen. Beliau juga didakwa menetapkan pelajar mana yang perlu ditahan.

Bamba yang hadir di mahkamah, mengaku tidak bersalah.

Defendan ketiga Sarjan Magloire Yougbare didakwa tanpa kehadirannya di mahkamah. Dia turut dituduh memandu kenderaan yang digunakan untuk membawa mayat pelajar terbabit.

Walapun siasatan bermula pada 2000, kes itu menjadi popular yang membawa kepada kejatuhan pemerintahan rejim Compaore di mana pendakwaan berjaya dibuat pada Januar 2017.

Pada tahun sama, pihak berkuasa mengumumkan rangka Dabo ditemui di Po, tapat pusat tahanan komando di mana pengawal Compaore menjalani latihan.

Burkina Faso pada masa ini ditadbir junta di bawah pimpinan Leftenan Kolonel Paul-Henri Sandaogo Damiba. – AFP, 20 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen