Mexico dilanda gempa bumi kuat


Gempa berukuran 7.7 magnitud itu menggegarkan bangunan dan menyebabkan orang ramai berlari ke jalan raya untuk menyelamatkan diri. – Gambar EPA, 20 September, 2022.

GEMPA bumi kuat melanda barat Mexico semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan mencetuskan panik ratusan kilometer di Mexico City, pada hari ulang tahun dua gegaran yang memusnahkan sebelum ini.

Gempa berukuran 7.7 magnitud itu menggegarkan bangunan dan menyebabkan orang ramai berlari ke jalan raya untuk menyelamatkan diri.

“Saya fikir akan terkena serangan jantung,” kata penduduk Mexico City, Gabriela Ramirez, di mana bandar itu masih trauma dengan gempa bumi lima tahun lalu yang menyebabkan beratus orang terkorban.

“Kawasan ini sangat terdedah kerana banyak bangunan musnah pada gempa bumi 2017 masih belum dibaiki, jadi keadaan akan bertambah buruk jika gempa berlaku lagi,” katanya.

Seorang mangsa terbunuh semalam akibat serpihan bangunan terjatuh di Manzanillo, barat Colima, kata Presiden Manuel Lopez Obrador di Twitter.

Tiada kerosakan serius di Mexico City, katanya.

Titik gegaran di pantai Pasifik, kira-kira 400km barat ibu kota dan 59km selatan Coalcoman di Michoacan dengan kedalaman gegaran dianggarkan 15km. – AFP, 20 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen