Ejen MM2H anggap visa elit Putrajaya tidak menarik


Khoo Gek San

Presiden Persatuan Ejen MM2H Anthony Liew berkata terdapat tiga perbezaan ketara antara program MM2H dan PVIP iaitu berkaitan yuran, had umur dan ketetapan untuk kerja di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2022.

EJEN Malaysia My Second Home (MM2H) tidak menganggap Program Visa Premium (PVIP) yang Putrajaya dakwa mampu menarik 20,000 jutawan sebagai sesuatu yang menarik.

Sebagai permulaan, kata mereka, tiada maklumat lanjut mengenai program yang baru dilancarkan itu.

Tiada laman web rasmi, malah Jabatan Imigresen juga terkontang-kanting kerana mereka tidak boleh beri sebarang butiran kepada ejen, kata mereka.

Presiden Persatuan Ejen MM2H Anthony Liew berkata terdapat tiga perbezaan ketara antara program MM2H dan PVIP.

Pertama, yuran PVIP antara RM100,000 dan RM200,000 manakala untuk MM2H telah ditetapkan pada RM5,000 dengan tambahan RM2,500 untuk setiap tanggungan.

Bagi PVIP, tiada had umur, manakala umur pemohon MM2H ditetapkan kepada 35 tahun dan ke atas. Ketiga, pemohon PVIP boleh bekerja di Malaysia, manakala pemohon MM2H tidak dibenarkan.

Liew berkata program PVIP susah untuk menarik ramai pemohon kerana ekspatriat di Malaysia dapat mohon visa kerja yang membolehkan keluarga mereka turut menetap di negara ini.

Jika mereka mempunyai niat untuk melabur di Malaysia, mereka boleh memohon permit perniagaan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berbanding PVIP, katanya.

“Pada masa ini, kami tidak tahu tentang PVIP, tiada laman web rasmi,” kata Liew kepada The Malaysian Insight, menambah Jabatan Imigresen tidak dapat memberikan butiran kepada mereka.

Di bawah PVIP, pembaharuan tahunan akan menelan kos RM2,000, smentara pemohon MM2H hanya dikenakan RM500.

“Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), kedua-dua skim itu memerlukan deposit tetap RM1 juta dengan bulanan RM40,000 sebagai bukti pendapatan.”

Liew berkata MM2H hanya mendapat beberapa ratus pemohon dalam tempoh enam bulan pertama selepas peraturan itu disemak, tetapi KDN kata terdapat 20,000 pemohon.

“Di manakah mereka dapat angka ini?,” soalnya.

“Mereka juga tidak maklumkan kepada kami sama ada kami boleh ikut serta program PVIP.”

Liew berkata MM2H masih kekal popular walaupun ejen mendapat banyak pertanyaan, tetapi bukan semuanya berminat untuk memohon.

Thailand yang mempunyai program serupa juga menarik, tetapi Liew percaya Malaysia ada kelebihan tersendiri.

“Selain itu, China belum buka sempadannya. Ramai warga China tanah besar berminat tetapi mereka tidak boleh buat apa-apa masa ini.”

Liew bagaimanapun berharap dapat berjumpa dengan KDN bagi membincangkan keperluan MM2H.

“Kami harap dapat menurunkan ambang, contohnya seperti perlu menetap di Malaysia selama 90 hari dan pendapatan bulanan RM40,000.

“Niat awal program ini adalah untuk pesara, bukan profesional yang bekerja.”

Awal bulan ini, Putrajaya memperkenalkan PVIP untuk menarik warga asing melabur dan menetap di Malaysia untuk tempoh 20 tahun.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata program “Residensi Melalui Pelaburan”, yang pertama seumpamanya diperkenalkan kerajaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara, akan dibuka untuk permohonan mulai 1 Oktober 2022.

Hamzah berkata PVIP ditawarkan kepada taikun perniagaan dari semua negara, kecuali Israel dan yang tidak ada hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Beliau berkata peserta program itu akan diberi faedah dalam bentuk kelulusan visa sehingga 20 tahun, kebenaran belajar, kebenaran membeli hartanah untuk tujuan kediaman, komersial atau industri, dan membuat pelaburan aktif dalam bidang yang dibenarkan. – 20 September, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen