Kenyataan Biden mengenai Taiwan langgar dasar AS, kata China 


KENYATAAN terbaharu Presiden Joe Biden bahawa Amerika Syarikat akan mempertahankan Taiwan daripada pencerobohan China “sangat melanggar” dasar Washington terhadap pulau itu, kata Beijing.

“Kenyataan AS… sangat melanggar komitmen penting yang dibuat AS untuk tidak menyokong kemerdekaan Taiwan, dan memberi isyarat yang sangat salah kepada kuasa pemisah kemerdekaan Taiwan,” kata jurucakap kementerian luar Mao Ning pada satu sidang akhbar.

Dalam temu bual, Biden ditanya sama ada tentera AS akan mempertahankan Taiwan, dan menjawab “ya”, jika ia “serangan yang belum pernah terjadi sebelumnya”.

Washington memutuskan hubungan diplomatik rasmi dengan Taiwan pada 1979, menukar pengiktirafan kepada Beijing sebagai wakil tunggal China. Tetapi pada masa yang sama, Amerika Syarikat mengekalkan peranan yang tegas, dalam menyokong Taiwan.

“Kami bersedia melakukan usaha ikhlas terbesar untuk memperjuangkan prospek penyatuan semula secara aman,” kata Mao pada Isnin.

“Pada masa yang sama, kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang aktiviti yang bertujuan untuk memecahbelahkan negara, dan mengekalkan pilihan untuk mengambil semua langkah yang perlu.”

Ketegangan antara China dan AS semakin memuncak daripada biasa susulan lawatan Nancy Pelosi, sekutu utama Biden dan speaker Dewan Perwakilan Rakyat ke Taiwan.

Minggu lalu, jawatankuasa Senat AS mengambil langkah pertama ke arah memberikan bantuan ketenteraan berbilion dolar secara langsung kepada Taiwan dan menjadikan hubungan lebih rasmi.

“Kami menggesa pihak AS untuk mengiktiraf sepenuhnya kepentingan dan kepekaan terhadap persoalan Taiwan… dan bersungguh-sungguh melaksanakan komitmen yang dibuat oleh pemimpin AS untuk tidak menyokong kemerdekaan Taiwan,” tambah Mao. – AFP, 19 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen