PRESIDEN Iran Ebrahim Raisi menuntut supaya Amerika Syarikat (AS) memastikan ia tidak akan menarik diri lagi daripada perjanjian nuklear jika ia disambung semula menjelang lawatan sulungnya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ketika harapan Barat semakin pudar dengan usaha memulihkan perjanjian penting 2015 itu, ulama itu berkata dalam wawancara televisyen AS yang beliau akan tetap menyokong “perjanjian yang baik dan adil”
Namun beliau berkata: “Ia perlu berkekalan. Perlu ada jaminan.”
“Kami tidak boleh percayakan orang Amerika kerana tingkah laku yang telah kami lihat daripada mereka. Sebab itu jika tidak ada jaminan, tidak ada kepercayaan,” katanya kepada program “60 Minutes” CBS News.
Bekas presiden Barack Obama merundingkan perjanjian di mana Iran secara drastik mengurangkan kerja nuklear sebagai balasan untuk pembatalan sekatan.
Tiga tahun kemudian, Donald Trump menarik diri dan mengenakan semula sekatan menyeluruh. Presiden AS Joe Biden menyokong ia disambung semula tetapi gesaan Iran untuk jaminan menjadi lebih teguh, dengan pentadbiran Demokrat berkata mustahil dalam sistem AS untuk mengatakan apa yang akan dibuat presiden akan datang.
Namun Raisi berkata penarikan Trump menunjukkan janji AS adalah “tidak bermakna.”
Pihak-pihak dalam perjanjian 2015 – turut termasuk Britain, China, Perancis, Jerman dan Rusia – melihatnya sebagai cara terbaik untuk menghalang republik Islam itu daripada membina bom nuklear – matlamat yang selalu dinafikan Tehran.
Laporan badan pemerhati nuklear PBB awal bulan ini berkata ia tidak dapat mengesahkan program nuklear Iran sebagai “aman secara eksklusif” sekali gus merumitkan usaha diplomatik untuk memulihkan perjanjian itu.
Iran berpegang pada tuntutan, untuk menghidupkan semula perjanjian 2015, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa mesti menyimpulkan siasatan yang dilancarkan apabila agensi itu menemui kesan bahan nuklear di tiga tapak yang tidak diisytiharkan. – AFP, 19 September, 2022.
Komen