Hishammuddin perlu jujur jawab tarikh terima LCS, kata Mat Sabu, Chin Tong


Alfian Z.M. Tahir

Bekas menteri pertahanan dan timbalannya Mohamad Sabu dan Liew Chin Tong menggesa supaya menteri pertahanan semasa menjawab dengan jujur tarikh sebenar penghantaran kapal tempur pesisir yang pertama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2022.

MENTERI Pertahanan Hishammuddin Hussein perlu jujur dan telus berhubung tarikh sebenar penghantaran kapal tempur pesisir (LCS) yang pertama, kata bekas menteri pertahanan dan timbalannya.

Dalam satu kenyataan bersama, Mohamad Sabu dan Liew Chin Tong bertanya kepada Hishammuddin sama ada ahli Parlimen Umno itu menyembunyikan fakta berhubung kos dan suntikan dana baharu yang diperlukan bagi membina kapal tersebut selepas kenyataan bercanggah mengenai tarikh penghantaran.

“Panglima Angkatan Tentera Jeneral Affendi Buang pada 13 September yang lalu telah menyatakan bahawa lima kapal LCS masing-masing akan dihantar pada Januari 2026, September 2026, Mei 2027, Januari 2028 dan September 2028.

“Tarikh penghantaran kapal pertama sama dengan testimoni Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Muez Abd Aziz kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 27 September 2021.

“Hishammuddin berulang kali menyatakan bahawa kapal pertama LCS boleh disiapkan dan dihantar kepada Tentera Laut Diraja Malaysia dalam tempoh satu atau dua tahun.

“Hishammuddin juga mengatakan bahawa kapal pertama tidak memerlukan dana baru daripada kerajaan tetapi enggan memberi gambaran sebenar berkenaan dana yang diperlukan untuk menyiapkan lima lagi kapal lain,” kata mereka.

Projek LCS bermula di bawah pentadbiran Najib Razak, ketika Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menjadi menteri pertahanan.

Baru-baru ini Malaysia kembali digemparkan dengan pemerolehan LCS yang telah lama menjadi tumpuan selepas PAC mengeluarkan laporannya mengenai kegagalan projek itu.

Laporan itu mendedahkan ia telah mengadakan sembilan prosiding mulai 18 November 2020, yang terbaharu pada 8 Mac tahun ini, dengan memanggil beberapa saksi.

PAC mendapati kontrak itu diberikan kepada Boustead Naval Shipyard  Sdn Bhd (BNS) melalui rundingan terus, dengan kerajaan membayar RM6.08 bilion, tetapi tiada satu pun LCS dihantar.

Mengikut jadual asal, lima kapal sepatutnya sudah siap dan diserahkan pada bulan Ogos lepas.

Menjelas lanjut, Mohamad dan Liew berkata tarikh yang disebut Hishammuddin yang kapal itu boleh siap dalam masa dua tahun adalah tidak tepat dan mustahil.

Mereka menuntut Putrajaya mengemukakan cadangan jadual, kos tambahan dan suntikan dana yang diperlukan untuk membina kapal-kapal LCS apabila Parlimen bersidang pada 3 Oktober.

“Penghantaran kapal pertama dalam setahun atau dua yang dikatakan oleh Hishammuddin ini adalah tidak tepat dan tidak mungkin.

“Tarikh yang dikemukakan oleh Panglima Angkatan Tentera adalah jadual paling awal jika program reka bentuk terperinci bermula sekarang dan program pembinaan bermula selepas reka bentuk terperinci dimuktamadkan dalam setahun.

“Apabila Parlimen bersidang pada 3 Oktober 2022, Kerajaan mesti mengemukakan cadangan jadual, kos tambahan dan suntikan dana yang diperlukan untuk membina kapal-kapal LCS.

“Hishammuddin perlu menjawab soalan-soalan ini dengan jujur dan telus,” kata mereka. – 19 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen