TAIWAN dilanda gempa bumi berukuran 5.5 magnitud di mana gegaran turut terasa di ibu kota Taipei, sehari selepas gempa kuat berlaku yang menyebabkan seorang maut manakala 150 yang lain cedera.
Gempa terbaru berlaku kira-kira 10 pagi, 66km di selatan barat daya bandar pantai Hualien dengan kedalaman 13km, kata Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Biro ramalan cuaca Taiwan melaporkan gempa itu berukuran 5.9.
Barat daya Taiwan yang terdiri daripada kawasan luar bandar dan kurang penduduk bergegar beberapa kali sejak Sabtu.
Paling kuat ialah 6.9 magnitud, pada petang semalam, menyebabkan jalan terputus dan bebreapa rumah di Yuli runtuh dengan sekurang-kurangnya seorang maut.
Empat mangsa lagi diselamatkan daripada runtuhan bangunan, sementara pihak berkuasa berkata 146 cedera.
Taiwan sering dilanda gempa dan kebanyakannya menyebabkan kerosakan kecil.
Hualien, kawasan tumpuan pelancong dilanda gempa bumi berukuran 6.4 magnitud pada 2018 yang menyebabkan 17 terbunuh dan hampir 300 yang lain cedera.
Pada September 1999, gempa bumi 7.6 magnitud menyebabkan 2,400 terbunuh dalam bencana paling buruk berlaku dalam sejarah negara itu. – AFP, 19 September, 2022.
Komen