Lebih ramai rakyat New Zealand jadi mangsa penipuan, kata kajian


Menurut kajian baharu Bank of New Zealand lebih ramai rakyat negara itu menjadi mangsa penipuan berbanding sebelum ini. – Gambar AFP, 19 September, 2022.

LEBIH ramai rakyat New Zealand menjadi mangsa penipuan berbanding sebelum ini, menurut kajian baharu Bank of New Zealand (BNZ) yang dikeluarkan pada Isnin, lapor agensi berita Xinhua.

Tahun lepas, empat daripada lima orang telah menjadi sasaran penipuan dan lebih satu per empat daripadanya terpedaya, meningkat tujuh peratus daripada tahun sebelumnya.

Perniagaan turut menjadi sasaran dengan 47 peratus daripada mereka menjadi mangsa pada tahun lepas, meningkat 21 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kajian itu dibuat semasa bank melancarkan Minggu Kesedaran Penipuan tahunannya untuk meningkatkan kesedaran, membantu orang ramai mengenal pasti penipuan dan kekal lebih selamat dalam talian.

Ketua Jenayah Kewangan BNZ Ashley Kai Fong berkata penipuan semakin meningkat dari tahun ke tahun dan meninggalkan kesan kemusnahan terhadap warga New Zealand.

Beliau berkata penipuan bukan sahaja merosakkan kewangan, tetapi turut menyakitkan, memalukan, dan membebankan mangsa dan ia turut menghakis kepercayaan serta keyakinan terhadap jenama, perniagaan dan organisasi. 

“Pertahanan terbaik terhadap penipuan ialah anda. Jika anda tahu perkara yang perlu diperhatikan dan dapat mengenali tanda-tanda penipuan, ia mengurangkan kemungkinan untuk anda menjadi mangsa.

“Dengan penganjuran Minggu Kesedaran Penipuan ini, kami menggesa orang ramai untuk mengambil tahu dan mendapatkan maklumat terkini supaya mereka boleh dilindungi dengan lebih baik,” kata Fong.

Fong juga meminta orang ramai membuat laporan jika pernah menjadi sasaran atau mangsa penipuan. – Bernama, 19 September, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen