JUTAAN penduduk di Chengdu, China mula keluar pada Isnin selepas sekatan pergerakan akibat Covid-19 yang menutup sekolah, perniagaan selain memaksa penduduk duduk di rumah selama lebih dua minggu.
Bandar raya terbesar dengan populasi 21 juta itu ditutup pada awal Spetember selepas hab kewangan global Shanghai mengenakan sekatan ketat selama dua bulan pada April, menyebabkan ramai penduduk berebut-rebut untuk mendapatkan makanan.
China mengamalkan strategi sifar-Covid dengan para pegawai berada di bawah tekanan untuk mengekang serangan virus menjelang mesyuarat politik penting pada pertengahan Oktober.
“Dengan usaha bersama seluruh bandar, pandemik telah dikawal dengan berkesan,” kata kerajaan Chengdu dalam satu kenyataan pada Ahad.
Jabatan kerajaan, perkhidmatan pengangkutan awam dan syarikat dapat menyambung semula kerja pada Isnin, kata kenyataan itu, selepas ditutup pada 1 September.
Chengdu akan terus menjalankan ujian besar-besaran, dan sesiapa yang ingin memasuki kawasan awam atau menaiki pengangkutan awam memerlukan keputusan ujian Covid negatif dalam masa 72 jam – sama seperti peraturan di bandar besar lain termasuk Beijing dan Shanghai.
Sekolah akan dibuka semula dengan “cara teratur” dan pelajar yang kembali akan disaring ketat, kata kenyataan itu.
Gim, kolam renang, kelab mahjong dan tempat hiburan dalam bangunan yang lain perlu diperiksa sama ada pengunjung mempunyai keputusan ujian negatif dalam masa 48 jam.
Tiada kes baharu dilaporkan di bandar itu pada Isnin. – AFP, 19 September, 2022.
Komen