TENTERA Amerika Syarikat (AS) akan mempertahankan Taiwan daripada pencerobohan China, kata presiden Joe Biden, sementara RUmah Putih mendakwa dasar Washington tidak pernah berubah.
Dalam wawancara “60 Minutes” CBS, Biden di tanya sama ada tentera AS akan mempertahankan Taiwan, yang mana beliau menjawab “ya,” jika ia “serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.”
Ini bukan kali pertama Biden mengisytiharkan tentera AS akan mengambil bahagian dalam perang antara China dan Taiwan, dengan Rumah Putih kelihatan menafikan komennya selepas itu. Perkara yang lebih kurang sama pernah berlaku pada Mei semasa lawatan ke Jepun.
Ketika itu, Biden juga ditanya sama ada beliau akan mengerahkan tentera AS untuk situasi sedemikian yang mana beliau menjawab: “ya.”
“Itu komitmen kami,” katanya.
Washington memutuskan hubungan diplomatik rasmi dengan Taiwan pada 1979, menukar pengiktirafan kepada Beijing sebagai wakil tunggal China. Tetapi pada masa sama, Amerika Syarikat mengekalkan peranan yang tegas dan halus dalam menyokong Taiwan.
Di bawah undang-undang yang diluluskan Kongres, AS dikehendaki menjual bekalan ketenteraan kepada Taiwan bagi menjamin pertahanan terhadap angkatan bersenjata Beijing yang jauh lebih besar.
Namun Washington telah mengekalkan apa yang secara rasmi dipanggil “kekaburan strategik” sama ada ia akan campur tangan secara ketenteraan.
Dasar ini direka untuk mengelak pencerobohan China dan tidak menggalakkan Taiwan daripada memprovokasi Beijing dengan mengisytiharkan kemerdekaan secara rasmi.
Ditanya sama ada kenyataan terkini daripada Biden menandakan perubahan dalam kekaburan strategik itu, jurucakap Rumah Putih berkata: “Presiden telah berkata sebelum ini, termasuk di Tokyo awal tahun ini. Beliau juga menjelaskan bahawa dasar Taiwan kami tidak berubah. Itu tetap benar.”
Berikutan dakwaan di Tokyo yang tentera AS akan terlibat, Biden kemudiannya ditanya sama ada konsep kekaburan strategik itu sudah mati yang mana beliau balas: “tidak.”
Setiap kali Biden membangkitkan kemungkinan tentera AS akan melindungi Taiwan, China akan bertindak balas. – AFP, 19 September, 2022.
Komen