Gegaran susulan gempa, presiden Taiwan minta rakyat waspada


Gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter melanda tenggara negara itu pada jam 2.44 petang, menyebabkan kerosakan meluas pada infrastruktur, bangunan dan kenderaan di Hualien dan Taitung.– Gambar EPA, 19 September, 2022.

SELEPAS gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter melanda tenggara Taiwan pada Ahad, Presiden Tsai Ing Wen berkata beliau meletakkan pusat operasi kecemasan pusat pada tahap berjaga-jaga tertinggi berikutan gegaran susulan yang dijangka berlaku.

Tsai menyeru orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap bahaya aktiviti seismik yang berterusan, sambil menambah beliau sentiasa menerima laporan daripada agensi yang terbabit dengan tindak balas bencana Taiwan, lapor agensi berita CNA.

Gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter melanda tenggara negara itu pada jam 2.44 petang, menyebabkan kerosakan meluas pada infrastruktur, bangunan dan kenderaan di Hualien dan Taitung.

Sebagai tindak balas, kerajaan pusat menghantar anggota mencari dan menyelamat, kenderaan dan unit anjing dari kawasan lain ke timur Taiwan.

Menurut pusat tindak balas bencana daerah Hualien, gempa bumi itu menyebabkan jambatan Gaoliao dan Luntien di kawasan itu runtuh dan jambatan Yuli turut mengalami kerosakan. – Bernama, 18 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen