Jurulatih selam warga asing monopoli pusat skuba, kata pengusaha


Diyana Ibrahim

PENGUSAHA pusat selam di pulau peranginan bimbang jurulatih warga asing yang memonopoli industri tersebut sejak sekian lama akan menutup periuk nasi dan potensi rakyat tempatan.

Sesetengah pengusaha ini mengakui tidak dapat mengelak dari mengambil penyelam dan jurulatih warga asing kerana kekurangan penyelam berpengalaman dari kalangan warga tempatan.

Namun mereka lebih cenderung melihatnya sebagai satu masalah memandangkan warga asing ini juga melanggar undang-undang kerana menggunakan visa pelancong untuk bekerja.

Seorang jurulatih menyelam memberitahu The Malaysian Insight, pusat selam skuba lebih gemar mengambil penyelam warga asing kerana golongan ini tidak meminta bayaran gaji yang banyak.

Amirul, 46, yang berpengalaman 14 tahun sebagai penyelam berkata, perkara itu diperhatikannya berlaku di pusat selam di pulau peranginan pantai timur semenanjung.

“Selalunya mereka ini banyak di Pulau Perhentian, Kapas, Redang dan ada di Pulau Tioman juga.

“Pusat selam memang suka ambil mereka sebab tak perlu nak bagi gaji lebih, kena bayar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Socso, tak seperti kalau ambil rakyat tempatan,” katanya.

Amirul berkata, penyelam tempatan di Terengganu biasanya dibayar sehingga bermula daripada RM3,000 ke RM5,000 termasuk dengan bayaran komisyen.

Penyelam warga asing digelar Mat Saleh ini pula dapat menikmati selaman sambil bekerja dengan hanya meminta disediakan tempat tinggal, makanan dan upah sedikit sahaja, katanya.

“Ini modus operandi mereka. Sebab bagi mereka, diberi tempat tinggal, makan sudah cukup pada masa sama boleh menerokai pulau.

“Boleh dikira ini percutian mereka untuk duduk percuma tanpa sebarang kos tinggi,” katanya.

Beliau mengesyaki kebanyakan penyelam ini tinggal di pulau di Malaysia melebihi tempoh ditetapkan tanpa memohon visa pekerjaan.

Bagaimanapun Amirul berkata, golongan ini seringkali terlepas daripada penguatkuasaan kerana mereka akan berpura-pura seperti pelancong.

“Dan ada juga modus operandi mereka bila visa nak tamat, mereka ini akan keluar ke Thailand sehari dua dan kemudian masuk balik ke Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, golongan tersebut juga mudah terlepas dari penguatkuasaan kerana terdapat kalangan warga tempatan menganggap golongan kulit putih ini berbeza dari warga asing lain.

“Selain itu (masalah ini juga berkait dengan) sentimen double standard rakyat tempatan kita yang menganggap warga asing ini hanya untuk Rohingya, Bangladesh.

“Tapi kalau warga asing berkulit putih ini hanya didiamkan, tidak laporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Beliau seterusnya mendakwa, setengah daripada penyelam kulit putih ini juga berani menjalankan perniagaan pusat selam skuba dengan menyewa pusat itu daripada rakyat tempatan.

Malangnya, tiada agensi khusus yang memantau kegiatan pusat selam skuba ini, kata Amirul.

“Kalau tanya berapa banyak pusat selam skuba, kita tak ada data untuk itu. Sebab tak ada badan yang betul pantau.

“Biasanya pusat selam ini berada di bawah ejen pelancongan, tapi kita tak boleh nak kata mereka sebagai agensi pelancongan kerana perniagaan tidak besar.

Penyelam warga asing hanya meminta disediakan tempat tinggal, makanan dan upah sedikit sahaja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2022.

“Boleh dikategorikan sebagai perusahaan kecil dan sederhana dan saya percaya ada banyak pusat selam ini tidak berdaftar dengan jabatan pelancongan,” katanya.

Amirul berkata, sudah tiba masa penguatkuasaan lebih ketat dilakukan kerana kelonggaran ini akan merosakkan bidang tersebut dan tidak membantu mempromosi pelancongan tempatan.

“Mereka juga tidak faham dengan budaya, atau faham betul-betul sejarah pulau dan negara jadi mereka tidak boleh promosikan pulau dan Malaysia seperti mana dibuat rakyat tempatan.

“Bagi saya ini satu kerugian besar,” katanya.

Isu disiplin, kelayakan penyelam tempatan

Seorang lagi penyelam, Mohd Amirul, 38, percaya keadaan tersebut tidak akan berlarutan sekiranya penyelam tempatan mengikut undang-undang dan mencapai kelayakan menjadi jurulatih.

Katanya, kalangan penyelam tidak melepasi ujian kelayakan ditetapkan, menyebabkan mereka tidak berhak menjadi jurupandu atau jurulatih.

“Sebab penyelam kita suka langgar undang-undang. Sebagai contoh untuk kita layak capai tahap dive master membolehkan penyelam layak menjadi jurupandu membawa penyelam lain biasanya memerlukan enam bulan dapatkan lesen.

“Tapi saya dengar mereka hanya buat lesen itu dalam masa 20 hari sahaja, jadi terang-terang salah,” katanya yang menjadi penyelam sejak tahun 1999.

Anak jati Pulau Redang itu berkata, beliau juga kini tidak lagi aktif sebagai penyelam dan hanya dapat mencari pendapatan sebagai nelayan.

Masalah kebanjiran jurulatih selam warga asing turut diakui penggiat pelancongan seperti Abdul Aziz Che Abdullah yang mengusahakan resort di Pulau Perhentian.

Bekas pengerusi persatuan pengusaha resort itu berkata, masalah tersebut sebenarnya sudah lama berlaku tapi kalangan usahawan yang terlibat melihatnya sebagai situasi menang-menang.

Abdul Aziz mengakui kekurangan penyelam tempatan yang berkelayakan menyebabkan pusat selam tiada pilihan selain mengambil penyelam warga asing.

Mereka akan mengalami kerugian besar sekiranya tidak membenarkan warga asing ini berkhidmat sebagai jurulatih selam kerana golongan ini akan membawa pelancong dari luar, katanya.

“Isu ini sebenarnya sudah lama sangat, kita dah bincang lama lebih daripada 10 tahun. Saya kata betul boleh halau mereka tapi ia akan sebabkan kita kerugian sangat besar.

“Satunya kita kurang sangat penyelam tempatan dan keduanya penyelam Mat Saleh ini mereka bawa masuk pelancong luar.

“Ibaratnya kalau kita bayar mereka RM1 mereka bawa RM100 duit dari luar. Jadi, kalau kita tak guna mereka ia akan sebabkan kita kerugian sangat besar,” katanya.

Beliau menambah, terdapat lebih 30 pusat selam beroperasi di Pulau Perhentian pada waktu ini dan mereka mencuba melatih anak muda pulau itu untuk mencapai kelayakan.

“Sekarang ini kita sedang latih anak-anak muda untuk jadi penyelam mahir dapatkan sijil mereka, sebab kita faham isu ini juga.

“Cuma masalahnya anak muda sekarang ini disiplin mereka kurang, ada perangai sendiri. Jadi itu yang kita cuba tangani sekarang,” katanya. – 19 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen