PUTRAJAYA perlu mengutamakan kesejahteraan rakyat berbanding institusi perbankan, kata Pengerusi DAP Lim Guan Eng hari ini.
Mendakwa bank-bank memperoleh keuntungan lumayan ketika pandemik Covid-19 walau membenarkan moratorium pinjaman, bekas menteri kewangan menuntut kerajaan menggesa bank berkongsi “nasib baik” mereka berikutan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
“Ini dibuktikan oleh fakta apabila OPR berada pada 3 peratus sebelum pandemik Covid, industri perbankan mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang sihat sebanyak RM41.5 bilion pada 2019,” kata ahli Parlimen Bagan dalam satu kenyataan hari ini.
“Apabila OPR dikurangkan kepada 1.75 peratus oleh Bank Negara semasa pandemik Covid-19, industri perbankan masih berjaya mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang sihat sebanyak RM28.5 bilion pada 2020 dan RM33.7 bilion pada 2021, walau terpaksa tanggung kos pengecualian kadar faedah dan moratorium pinjaman bank untuk golongan berpendapatan rendah.
“Dengan kenaikan OPR perlahan-lahan kembali ke paras sebelum pandemik sebanyak 3 peratus, industri perbankan mempunyai prospek yang menguntungkan.
“Bagaimanapun, bank tidak sepatutnya yakin dengan masa depan lebih cerah dengan mengorbankan peminjam mereka yang menderita akibat membayar kadar faedah yang lebih tinggi.
“Kerajaan perlu lindungi rakyat dan bukannya keuntungan bank dengan menuntut bank berkongsi nasib baik mereka berikutan kenaikan OPR,” tambah ahli Parlimen DAP itu.
Dua minggu lepas, Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.5 peratus. Ini kenaikan ketiga berturut-turut, selepas dinaikkan kepada 2.25 peratus pada Julai dan 1.75 peratus pada Mei.
Persatuan perniagaan dan pengguna telah menyuarakan rasa tidak senang mereka dengan kenaikan OPR baru-baru ini, berkata ia akan memberi kesan negatif kepada pemulihan ekonomi.
Lim berkata, kerajaan perlu mengambil kira permintaan daripada peminjam individu peringkat bawah dan komuniti perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), untuk mengetepikan kadar faedah dan moratorium pinjaman bank bagi tempoh tiga hingga enam bulan.
Beliau berkata keuntungan sihat industri perbankan boleh mengekalkan kos mengetepikan kadar faedah dan moratorium pinjaman bank bagi membantu golongan miskin dan PKS. Ia dapat mengatasi harga lebih tinggi, kejatuhan nilai ringgit, kekurangan tenaga buruh, birokrasi, kegagalan membuat keputusan dasar dan pusingan-U selain tadbir urus yang lemah.
Lim berkata terdapat persepsi kukuh yang kerajaan mengutamakan bank berbanding peminjam mereka apabila ia memberi jaminan kenaikan OPR BNM sebanyak 25 mata asas kepada 2.5 peratus tidak memperkayakan bank kerana mereka juga perlu membayar kadar faedah yang lebih tinggi kepada pendeposit.
“Dengan mempertahankan sektor perbankan sedemikian sehingga OPR meningkat tidak memperkayakan bank, malah tidak disokong oleh firma penyelidikan saham bank itu sendiri pada 9 September 2022,” kata bekas ketua menteri Pulau Pinang itu.
Memetik Penyelidikan Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB Research), Lim berkata bank biasanya mendapat keuntungan daripada persekitaran kadar faedah yang meningkat. – 18 September, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen