DO KWON, pengasas kripto Terra Korea Selatan dalam buruan menafikan dia dalam pelarian selepas polis Singapura berkata dia tidak berada di republik itu seperti yang dipercayai.
Keberadaan Kwon menjadi persoalan selepas kenyataan Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Sabtu, selain ciapan di Twitter tidak mendedahkan di mana dia berada.
Keruntuhan Terraform Labs awal tahun ini menghapuskan kira-kira AS$40 bilion wang pelabur.
Mahkamah Korea Selatan pada Rabu mengeluarkan waran tangkap untuk Kwon.
Pada awal Ahad dia berkata di Twitter: “Saya ‘tidak dalam pelarian’ atau apa-apa yang serupa”, tetapi tidak mendedahkan di mana dia berada.
“Bagi mana-mana agensi yang menunjukkan minat untuk berkomunikasi, kami bekerjasama sepenuhnya dan kami tidak ada apa-apa untuk disembunyikan,” tambahnya.
“Kami dalam proses mempertahankan diri kami dalam pelbagai bidang kuasa… dan berharap untuk menjelaskan kebenaran dalam beberapa bulan akan datang.”
Lelaki berusia 31 tahun itu sebelum ini dipercayai berada di Singapura, di mana bulan lalu dia diwawancara buat pertama kali.
Lewat Sabtu, SPF berkata dalam respons e-mel kepada pertanyaan AFP yang “Do Kwon kini tiada di Singapura”.
“SPF akan membantu Agensi Polis Kebangsaan Korea (KNPA) dalam lingkungan perundangan domestik dan kewajipan antarabangsa kami,” kata kenyataan ringkas itu, yang tidak memberikan butiran lanjut.
Akhbar Straits Times Singapura melaporkan permit kerja Kwon di republik itu akan tamat pada 7 Disember, tetapi permohonannya untuk pembaharuan mungkin berisiko ketika ini.
Pendakwa raya Korea Selatan juga telah mengeluarkan waran tangkap untuk lima orang lain – yang tidak dinamakan – dikaitkan dengan stablecoin TerraUSD dan Luna. – AFP, 18 September, 2022.
Komen