Protes di London susulan keganasan maut polis


Poster menyeru keadilan untuk Chris Kaba, penyanyi rap yang ditembak mati oleh pegawai Polis di Streatham Hill pada 5 September, dipasang di Brixton, selatan London. Kaba ditembak mati dalam keadaan tidak bersenjata pada 5 September selepas dikejar polis. – Gambar AFP, 18 September, 2022.

PULUHAN penunjuk perasaan berkumpul di luar ibu pejabat Polis Metropolitan London pada Sabtu, menuduh kekerasan berunsur perkauman susulan tembakan yang membunuh lelaki kulit hitam berusia 24 tahun, Chris Kaba.

Penyiasat sedang mempertimbangkan sama ada perkauman menjadi faktor penembakan penyanyi rap tersebut pada 5 September selepas polis mengejar keretanya, yang berakhir di Streatham Hill, selatan London.

Seorang pegawai bersenjata api telah digantung tugas sementara Pejabat Bebas bagi Kelakuan Polis (IOPC) menjalankan siasatan pembunuhan.

Keluarga Kaba telah menuntut penyelesaian segera kepada siasatan itu, tetapi penyiasat berkata ia boleh memakan masa sehingga sembilan bulan.

“Dia tiada senjata. Jadi kenapa dia ditembak? Kenapa dia dibunuh? Dia ada anak dalam perjalanan. Anak dia akan membesar tanpa ayah. Kenapa?” tanya penulis Chris Sibia.

“Kami sudah menyampah dengan ketidakadilan. Terdapat banyak peristiwa orang kulit hitam ditembak, dalam beberapa kes dibunuh, ditolak, serangan jantung, dibunuh oleh polis,” tambahnya.

“Dan kami tidak ditawarkan keadilan yang sama dengan kumpulan etnik lain.”

Asisten Komisioner Polis Metropolitan London Amanda Pearson berkata pasukan itu “menyokong sepenuhnya” siasatan.

“Kami terus menyokong penuh siasatan IOPC kerana mereka berusaha untuk membuktikan fakta dan cuba menjawab banyak persoalan keluarga Encik Kaba dan orang lain mengenai kematian tragisnya,” katanya.

Penunjuk perasaan Sanai Dixon-Thomas menggesa video kejadian itu dikeluarkan kepada keluarga.

Pada Jun, pasukan itu dimasukkan ke dalam langkah khas selepas beberapa siri skandal berprofil tinggi.

Inspektorat Konstabulari dan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Seri Paduka Baginda (HMICFRS) berkata ia secara rasmi “memantau” Met untuk membantunya bertambah baik. – AFP, 18 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen