PERDANA Menteri Israel Yair Lapid akan bertemu Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di luar Perhimpunan Agung PBB pada Selasa.
Pejabat Lapid berkata beliau akan ke New York pada malam Isnin, sebelum ucapan kepada Perhimpunan Agung pada Khamis.
Satu sumber berkata pertemuan dengan Erdogan akan berlangsung pada Selasa.
Ia berlaku ketika ketua angkatan tentera Israel Leftenan Jeneral Aviv Kohavi mengumumkan lawatan pertamanya ke Perancis dan Poland untuk bertemu dengan pegawai kanan di kedua-dua negara.
Bulan lalu, Turkiye dan Israel mengumumkan pemulihan penuh hubungan diplomatik berikutan hubungan tegang selama bertahun-tahun.
Pada Mei, Mevlut Cavusoglu menjadi menteri luar Turkiye pertama melawat Israel dalam tempoh 15 tahun.
Erdogan menyifatkan lawatan ke Ankara oleh Presiden Israel Isaac Herzog pada Mac sebagai “titik perubahan dalam hubungan kami”.
Hubungan mula renggang pada 2008, berikutan operasi ketenteraan Israel di Gaza.
Hubungan kemudiannya terhenti pada 2010 selepas kematian 10 orang awam berikutan serbuan komando Israel ke atas kapal Turkiye Mavi Marmara, sebahagian daripada armada bantuan yang cuba melanggar sekatan Israel ke atas Gaza.
Perdamaian singkat hanya bertahan dari 2016 hingga 2018, apabila Turkiye menarik balik dutanya dan mengusir Israel berhubung pembunuhan rakyat Palestin.
Lebih 200 warga Gaza ditembak mati oleh tentera Israel semasa protes sempadan pada 2018 dan 2019. – AFP, 18 September, 2022.
Komen