Hartawan India individu kedua terkaya dunia, kalahkan Bezos


Gautam Adani, yang sebelum ini di tempat ke-14 Indeks Billionaires Bloomberg, memiliki anggaran kekayaan semasa berjumlah AS$146.9 bilion di belakang pengasas Tesla, Elon Musk. – Gambar AFP, 17 September, 2022.

HARTAWAN India Gautam Adani mengatasi pengasas Amazon Jeff Bezos sebagai individu kedua terkaya di dunia, menjadikannya rakyat pertama India mencapai tahap kekayaan global yang tertinggi, menurut Bloomberg Billionaires Index pada Jumaat, lapor Sputnik.

Adani, yang sebelum ini di tempat ke-14 Indeks Billionaires Bloomberg, memiliki anggaran kekayaan semasa berjumlah AS$146.9 bilion di belakang pengasas Tesla, Elon Musk.

Musk individu terkaya di dunia ketika ini dengan anggaran kekayaan sebanyak AS$260 bilion.

Menurut Bloomberg Billionaires Index nilai kekayaan Adani meningkat selepas saham syarikat perdananya Adani Enterprises Ltd. melonjak ke paras tertinggi minggu ini.

Nilai saham beberapa syarikat kumpulan Adani juga bertambah lebih daripada 1,000 peratus sejak 2020.

Sementara itu, nilai bersih Bezos merosot kepada AS$145.8 bilion pada penilaian terakhir apabila penjualan semula saham syarikat Big Tech di Wall Street menjejaskan kekayaan individu terkaya Amerika dalam sektor itu. Saham Amazon menurun lebih 25 peratus tahun ini. – Bernama, 17 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen