NAIB Presiden Gerakan Baljit Singh kecewa kerana cadangan kontroversinya untuk membangunkan kasino di Pulau Pinang disalah erti dan dianggap mencabar sensitiviti agama.
Baljit menjelaskan kepada The Malaysian Insight, beliau bermaksud untuk membina taman tema mega untuk membangunkan ekonomi negeri dan bukan pusat perjudian semata-mata.
Tegasnya, beliau tidak berhasrat mencabar dan menyentuh sensitiviti mana-mana agama dan mengakui ia hanyalah pandangan peribadinya.
“Itu pandangan peribadi saya, tapi bukanlah semata-mata pembinaan kasino. Yang saya maksudkan pembinaan taman tema seperti ada di Genting Highland, Pahang atau di Singapura.
“Tapi saya tak tahu bagaimana boleh pusing kata saya hanya nak bina kasino sahaja,” katanya ketika diminta menjelaskan cadangan yang disiarkannya di Facebook pada Isnin.
Tambahnya lagi, pusat perjudian tersebut juga lebih mudah dikawal kerana beliau mencadangkan ia dibina di Pulau Jerejak.
“Lagi satu saya cadang untuk buat di Pulau Jerejak, bukan di bukit bukau macam yang orang kata.
“Apabila (taman tema dan kasino berada) di pulau, senanglah kita nak buat penguatkuasaan atau pemantauan (supaya) yang bukan Islam tidak boleh masuk.
“Saya faham ia berkaitan sensitiviti agama umat Islam.”
Baljit bagaimanapun juga akur dengan keputusan Presiden Gerakan Dominic Lau yang dilaporkan menolak cadangan dan menegaskan ia bukan pendirian rasmi parti tersebut.
“Tapi saya difahamkan presiden tidak setuju, dan rakan dalam PN juga tidak setuju, jadi saya akur dan hormat dengan keputusan itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Susulan itu, beliau akan mengusulkan pembinaan rumah kos sederhana bawah RM72,000 di Pulau Pinang sebagai ganti untuk dimasukkan dalam manifesto berkenaan.
Katanya, kos RM72,000 itu dilihat realisitik memandangkan harga bahan binaan rumah naik sehingga rumah mampu mampu milik tidak lagi dapat dibeli rakyat Pulau Pinang.
“Sedangkan nak nak dapatkan tempat parkir kereta pun penduduk kena bayar RM25,000 hingga RM50,000 dan tidak boleh buat pinjaman bank.
“Jadi itu saya cadangkan untuk pembinaan rumah kos rendah bawah RM72,000, sebab kita tak boleh buat dengan harga RM42,000 harga standard untuk rumah kos rendah.
“Saya amat berharap cadangan saya diterima dan boleh dimasukkan dalam manifesto PN untuk pilihan raya,” katanya
Dalam kenyataannya pada Isnin, Baljit merancang untuk memasukkan cadangan membina kasino dalam manifesto BN sebagai tawaran kepada pengundi dalam pilihan raya umum akan datang.
“Biar rakyat yang tentukan pembinaan kasino di Pulau Pinang. Saya fikir PN patut pertimbangkan cadangan itu dalam manifesto untuk pilihan raya akan datang.
“Dulu pernah ada cadangan untuk membina kasino di Pulau Jerejak, saya tidak tahu siapa yang mulakan idea itu tapi saya percaya ia dipertimbangkan oleh kerajaan pada waktu itu.
“Namun saya percaya kerana sentimen agama dan kaum cadangan itu kemudiannya bertukar sekadar cakap-cakap sahaja,” tulisnya.
Cadangan Baljit itu turut meraih kecaman Amanah yang membidas PN kerana bersikap gopoh mengejar wang ringgit dengan mengabaikan pembangunan sahsiah rakyat.
Naib Ketua Pemudanya Muhammad Fitri Termizi berkata cadangan yang mahu dimasukkan dalam manifesto PN itu sewajarnya dikaji semula termasuk kesannya kepada masyarakat. – 17 September, 2022.
Komen