SEORANG pemuda Rohingya berusia 18 tahun terbunuh dan sekurang-kurangnya enam lagi cedera pada Jumaat akibat peluru mortar yang dilancarkan dari Myanmar, kata pegawai dan sumber Rohingya.
Kira-kira sejuta pelarian Rohingya yang kebanyakannya beragama Islam tinggal di berpuluh-puluh kem di daerah sempadan tenggara Bangladesh di Cox’s Bazar, selepas sebilangan besar melarikan diri daripada tindakan keras tentera Myanmar yang majoriti penganut Buddha pada 2017.
Pada masa sama, di seberang sempadan di negeri Rakhine, tentera Myanmar kerap bertempur dengan Tentera Arakan, yang bertahun-tahun berperang untuk mendapatkan autonomi bagi penduduk etnik Rakhine di kawasan itu.
Dil Mohammad, ketua kumpulan Rohingya yang tinggal di sempadan di Tumbru, berkata pemuda berusia 18 tahun itu maut apabila peluru mortar yang dilancarkan dari Myanmar mengenai kawasan itu pada lewat Jumaat, menimbulkan panik dalam kalangan pelarian.
Leftenan Jeneral Faizur Rahman, ketua operasi Pengawal Sempadan Bangladesh, memberitahu AFP seorang pelarian Rohingya terbunuh dalam serangan itu.
Tenteranya berjaya mengawal sempadan dan bantahan keras akan dibuat kepada Myanmar, tambahnya.
Seorang pegawai kanan awam Bangladesh berkata sekurang-kurangnya enam orang lagi cedera di Konapara, sebuah perkampungan di sempadan Bangladesh.
Ia kejadian terbaru dalam siri insiden peluru meletup di Bangladesh, tetapi yang pertama menyebabkan kematian.
Awal bulan ini, Dhaka menyatakan “kebimbangan terhadap peluru mortar yang jatuh di dalam wilayah Bangladesh, tembakan dari udara secara rambang dari Myanmar di kawasan sempadan, dan pencerobohan ruang udara dari Myanmar”.
Kementerian luar Bangladesh memanggil wakil Myanmar di Dhaka tiga kali dalam beberapa minggu kebelakangan ini untuk menyampaikan kebimbangan negara itu terhadap peluru mortar.
Dhaka berharap penghantaran pulang Rohingya akan bermula akhir tahun ini, tetapi pakar berkata pertempuran antara tentera Myanmar dan pemberontak bermakna petanda keengganan Rohingya untuk pulang ke kampung mereka. – AFP, 17 September, 2022.
Komen