RAKYAT Haiti yang marah dengan lonjakan harga minyak sekali lagi merusuh dan merompak sekolah serta bangunan lain di negara miskin itu pada Jumaat.
Keganasan menular sehingga ke fasiliti Program Makanan Dunia PBB (WFP) di mana 1,400 tan bekalan disimpan, apabila penunjuk perasaan yang marah sekali lagi turun ke jalan di Port au Prince dan kawasan sekitarnya.
WFP mengeluarkan kenyataan mengecam serangan pada Khamis yang berlaku di gudang simpanannya di bandar Gonaives, berkata makanan yang dicuri adalah untuk program makanan sekolah dan keluarga termiskin di Haiti.
“Kejadian ini sangat tidak boleh diterima,” kata Pengarah tempatan Jean Martin Cauer, menambah yang makanan itu sepatutnya boleh diberikan kepada hampir 100,000 pelajar sekolah untuk sepanjang tahun ini.
Keganasan di ibu kota negara itu memasuki hari keempat apabila penunjuk perasaan menyerang bangunan kerajaan kerana marah dengan lonjakan harga minyak.
Pada Khamis, mereka mensasarkan bangunan Televisyen Nasional Haiti, Arkib Nasional serta pelbagai bangunan dan perniagaan.
Protes bermula selepas Perdana Menteri Ariel Henry mengumumkan pada Ahad yang kerajaan kini tiada wang dan tidak lagi boleh memberikan subsidi minyak yang seterusnya akan menaikkan harganya.
Kesannya, harga diesel dan minyak tanah dijangka naik dua kali ganda, daripada 350 kepada 670 gourde (AS$3-5.7). – AFP, 17 September, 2022.
Komen