SERANGAN udara Israel berhampiran lapangan terbang Damsyik membunuh lima askar Syria pada Sabtu, kata media kerajaan negara itu.
“Pencerobohan itu menyebabkan kematian lima askar dan beberapa kerosakan material,” agensi berita rasmi Syria Sana memetik sumber tentera.
Serangan yang dilakukan pada kira-kira 1.45 pagi (2145 GMT Jumaat) datang “dari arah timur laut Tasik Tiberias, menyasarkan lapangan terbang Damsyik dan beberapa kawasan di selatan Damsyik,” tambahnya.
Pemantau perang Syrian Observatory for Human Rights mengesahkan serangan itu membunuh lima askar Syria, dan berkata dua pejuang yang disokong Iran turut terbunuh.
Pemantau yang bergantung kepada rangkaian luas sumber di dalam Syria, berkata Israel menyasarkan tapak kumpulan yang disokong Iran ditempatkan berhampiran lapangan terbang Damsyik dan di kawasan luar bandar Damsyik.
Serangan Israel di kawasan luar bandar sekitar ibu negara Damsyik dan selatan wilayah pantai Tartus membunuh tiga askar bulan lalu.
Pada Jun, serangan udara Israel menyebabkan lapangan terbang Damsyik tidak beroperasi selama hampir dua minggu.
Pada bulan lalu, serangan udara Israel dua kali menyasarkan lapangan terbang Aleppo.
Pemantau hak asasi berkata serangan itu menyasarkan depoh senjata milik tentera yang disokong Iran.
Sejak perang saudara meletus di Syria pada 2011, Israel melakukan ratusan serangan terhadap negara jirannya di utara, menyasarkan tentera kerajaan serta tentera sekutu yang disokong Iran dan pejuang Hizbullah.
Walaupun Israel jarang mengulas mengenai serangan secara individu, ia mengakui melakukan ratusan.
Ia berkata kempen udaranya perlu untuk menghentikan musuh ketat Iran bertapak di pintu masuknya. – AFP, 17 September, 2022.
Komen