Johor bangkit selepas kekangan PKP, kata pemain industri


Khoo Gek San

Pengusaha hotel di Johor sudah boleh menarik nafas lega apabila kadar penghunian meningkat kepada 75% ketika cuti sekolah, kata pemain industri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2022.

BISNES kembali berjalan seperti biasa di Johor selepas sempadan antara negeri itu dengan Singapura dibuka lima bulan lalu.

Ekonomi negeri itu kembali pulih, manakala hotel dan kedai makan mula mengurangkan defisit yang dialami selama dua tahun akibat penutupan disebabkan pandemik.

Pelabur asing juga datang ke negeri itu dan sehingga Jun tahun ini ia mengumpul RM60.9 bilion, menurut kerajaan negeri.

Pengerusi Persatuan Hotel-hotel Malaysia Johor Ivan Teo berkata kadar penghunian di negeri itu adalah 75% semasa cuti sekolah manakala kadar penghunian di hotel empat bintang dan lima bintang berada pada kadar 75% di hujung minggu.

Semasa tempoh percutian, ia boleh meningkat sehingga 90%, kata Teo.

Walaupun terdapat masalah asas sejurus selepas sempadan dibuka semula, semuanya kembali ke landasan yang baik sekarang, katanya.

“Pada hujung minggu, kadar penghunian adalah 80% hingga 90%, manakala pada hari biasa ia antara 30% hingga 40%.

“Tetapi kami masih perlu memberi diskaun untuk menarik pengunjung,” katanya.

Kira-kira 70% tetamu adalah warga Singapura manakala penduduk tempatan menyumbang kepada 30%, kata Teo.

“Ketika industri semakin pulih, terima kasih kepada pelancong Singapura, kami masih belum kembali sepenuhnya ke tahap sebelum pandemik.”

Ini katanya, terutamanya disebabkan oleh kekurangan pekerja yang masih terus membelenggu industri.

“Kami memerlukan pekerja asing untuk mengemas bilik, bekerja di dapur dan mengangkat barang berat.”

Pengusaha restoran juga berjaya memulihkan perniagaan mereka selepas rugi teruk ketika perintah kawalan pergerakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2022.

Kebanyakan hotel menghadapi kekurangan 30% kakitangan, kata Teo.

“Bukan kami sahaja, tetapi sektor lain juga. Tetapi, jika kami mempunyai lebih ramai tenaga kerja, kami boleh memberikan perkhidmatan yang lebih baik.

“Perniagaan kami menjual bilik, dengan lebih ramai pekerja, kami boleh menaikkan harga.”

Selain pelancong dari Singapura, Johor turut menarik pelancong Korea Selatan yang datang bermain golf di negeri itu, katanya.

Bisnes berkembang pesat bagi peniaga pasar malam

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Johor Selatan Yow Boon Choon berkata peniaga pasar malam dan penjaja juga menyaksikan peningkatan jumlah perniagaan.

Berbanding pendapatan sekadar RM200 semalam sebelum ini, mereka boleh membuat antara RM600 hingga RM700 semalam sekarang, kata Yow.

“Pada musim cuti sekolah, ada di antara mereka yang mampu menjana pendapatan sehingga RM2,000 sehari.”

Perniagaan yang berkembang pesat disaksikan di pasar malam Taman Pelangi, Johor Jaya dan Taman Ungku Tun Aminah, katanya.

“Dolar Singapura kukuh, rakyat Malaysia yang bekerja di sana sanggup berbelanja apabila mereka kembali.

“Kira-kira 40% daripada semua pengunjung di pasar malam itu adalah warga Singapura manakala selebihnya warga tempatan,” katanya.

Disebabkan inflasi, Yow berkata bisnes tidak mempunyai pilihan selain memulangkan kos kepada pengguna, tetapi rakyat Singapura masih bersedia untuk membeli. – 17 September, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen