Dah lama saya jadikan Mukhriz PM kalau mahu, kata Dr Mahathir 


Bede Hong

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ketika tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 Februari, 2018.

DR Mahathir Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa jika beliau mahu, beliau boleh sahaja jadikan anaknya Mukhriz Mahathir sebagai perdana menteri lebih dua dekad lalu.

“Jika saya ada niat itu, sudah pasti ketika saya masih perdana menteri dan Mukhriz masih muda pada umur 20 an atau 30annya, saya akan lakukan apa sahaja dengan kuasa saya untuk perkukuhkan kariernya,” kata Dr Mahathir.

Bekas perdana menteri itu memberi keterangan dalam saman fitnah yang difailkan oleh Mukhriz terhadap bekas naib pengerusi DAP Tunku Aziz Tunku Ibrahim yang mendakwa Pakatan Harapan mempunyai pakatan sulit untuk menjadikan Mukhriz perdana menteri.

Tunku Aziz membuat dakwaan itu dalam dua kenyataan: “There exists a secret pact between Tun Mahathir and Kit Siang - Tunku Aziz” dan “Tunku Aziz urges Mukhriz, Kit Siang to make sworn declaration” yang disiarkan dalam sebuah blog (aidcnews.wordpress.com).

Permohonan Tunku Aziz untuk mengugurkan saman Mukhriz ditolak pada Oktober.

Di mahkamah hari ini, Dr Mahathir berkata pemeriksaan akan mendedahkan Mukhriz hanya menjadi ahli Umno sebaik sahaja bekas perdana menteri itu meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada 2003.

“Ini kerana saya melarang anak saya termasuk Mukhriz untuk terlibat dalam politik secara aktif.

“Saya tidak mahu dituduh menyalahgunakan jawatan dan kuasa sebagai perdana menteri dan presiden Umno untuk kepentingan keluarga saya,” katanya.

Dr Mahathir menambah beliau juga tidak pernah mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa atas kapasitinya sebagai perdana menteri.

“(Sepanjang) 22 tahun (ketika saya perdana menteri), banyak tuduhan dan kenyataan palsu yang dilemparkan kepada saya. Bagaimanapun, sudah menjadi prinsip saya pemimpin perlu berdepan dengan tuduhan oleh orang yang tidak sukakannya.

“Tindak balas saya ketika itu adalah untuk tidak mengambil tindakan undang-undang di mahkamah, tetapi buktikan diri saya melalui tugas dan tindakan saya sebagai perdana menteri.

“Apa yang penting ialah, saya tidak pernah berjanji untuk saman sesiapa, tetapi akhirnya meneruskan saman terhadap orang lain, sebagaimana (Perdana Menteri) Najib (Razak) sudah lakukan.”

Sementara itu, Tunku Aziz dalam kenyataan bertulisnya, menafikan apa yang beliau tulis boleh dianggap fitnah terhadap Mukhriz.

“Saya percaya mana-mana pemimpin yang rasional akan melihat kenyataan saya sebagai satu analisis berikutan perjanjian rahsia antara (pemimpin DAP) Lim Kit Siang dan Tun Dr Mahathir mengenai jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri,” katanya.

“Ianya jelas plaintif (Mukhriz) bukanlah perkara utama dalam kenyataan ini. Perkara utama ialah perjanjian rahsia antara Lim Kit Siang dan Tun Dr Mahathir, yang boleh memberi implikasi kepada landskap politik, terutamanya bagi pengundi Melayu dan isu yang membabitkan pengundi Melayu.

“Saya turut nyatakan sebagai pemimpin politik, beliau (Mukhriz) tidak perlu menjadi terlalu sensitif kepada analisis atau pandangan mengenai aktiviti politiknya. Rakyat berhak untuk mengulas mengenai perjalanan politiknya sebagai pemimpin politik,” kata Tunku Aziz.

Kedua-dua Tunku Aziz dan Dr Mahathir hadi di mahkamah hari ini.

Haniff Khatri Abdulla bertindak sebagai peguam utama untuk Dr Mahathir manakala Jahabardeen Mohd Yunoos mewakili Tunku Aziz di hadapan hakim Nordin Hassan.

Kes itu ditangguhkan sehingga Khamis apabila Tunku Aziz akan dikaji semula. – 27 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen