Program 'impian jelajah angkasa menerusi lukisan' dapat sambutan


Tahun 2022 merupakan ulang tahun ke-30 program penerbangan angkasa lepas bermanusia China. – Gambar fail AFP, 16 September, 2022.

PESERTA remaja dari Mongolia, Vietnam, Laos, Kemboja, Bangladesh, Afghanistan, Turkiye dan Kenya berjaya memenangi acara sempena program ‘Impian Jelajah Angkasa Menerusi Lukisan’ dan kuiz ‘Angkasa’ yang dianjurkan Pusat Asia Afrika Kumpulan Media China (CMG) dan Muzium Sains dan Teknologi China (CSTM).

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang diadakan di Beijing pada Khamis.

Pemenang menerima sijil penghargaan, kemeja-T dan cenderamata berbentuk alat permainan berunsurkan angkasa lepas berdasarkan module eksperimen di stesen angkasa China Mengtian, Wentian, Tianhe dan Tiangong.

Tiga angkasawan Shenzhou-14 China, Chen Dong, Liu Yang dan Cai Xuzhe yang sedang menjalankan tugas di stesen angkasa China turut mengucapkan tahniah kepada pemenang menerusi pautan video.

Angkasawan pertama China, Yang Liwei yang turut hadir pada majlis itu menjawab sebahagian pertanyaan peserta luar negara mengenai kehidupan di angkasa.

Sejak aktiviti itu dilancarkan pada Jun lalu, penganjur menerima lebih 600 karya lukisan dan lebih 1,000 soalan peserta dari lebih 20 buah negara dan kawasan.

Lukisan yang dihantar antaranya bermotifkan perayau antara bintang, tamadun angkasa lepas, penggunaan ruang angkasa untuk kedamaian dan kampung halaman yang diidamkan manusia.

Peserta juga menitipkan harapan semoga program aeroangkasa China terus melakar kejayaan lebih cemerlang.

Tahun 2022 merupakan ulang tahun ke-30 program penerbangan angkasa lepas bermanusia China.

Setiap kemajuan yang dicapai China dalam pelaksanaan program itu menarik perhatian dunia luar, sekali gus mencetus inspirasi terhadap golongan belia pelbagai negara untuk mengejar impian menjelajahi angkasa. – Bernama, 16 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen