INDONESIA melancarkan siasatan anti-amanah terhadap Google berhubung desakan firma teknologi itu supaya sistem pembayarannya digunakan untuk pembelian daripada gedung aplikasinya, kata pihak berkuasa hari ini sambil menuduhnya melakukan amalan perniagaan tidak adil.
Gergasi internet AS itu berada di bawah penelitian undang-undang di beberapa negara selepas syarikat itu menetapkan sistem bilnya digunakan semua pembeli di Google Play.
Pihak berkuasa di Jakarta dalam satu kenyataan berkata mereka mengesyaki “Google menyalahgunakan kedudukan dominannya dengan mengenakan jualan bersyarat dan amalan diskriminasi dalam pengedaran aplikasi digital di Indonesia”.
Google Play adalah platform pengedaran aplikasi terbesar di Indonesia.
Menurut siasatan awal agensi anti-amanah Indonesia, pembangun pihak ketiga yang menawarkan aplikasi mereka di Google Play dikenakan caj perkhidmatan 15% hingga 30% lebih tinggi berbanding 5% dikenakan sistem pembayaran lain.
“Pembangun tidak boleh menolak ketetapan itu kerana Google boleh mengenakan sekatan dengan mengalih keluar aplikasi daripada gedung Google Play dan menghalang daripada membuat kemas kini terhadap aplikasi mereka,” kata agensi itu.
Google Indonesia berkata ia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara itu “untuk menunjukkan cara Google Play menyokong pembangun aplikasi”.
Firma teknologi itu menambah sejak awal bulan ini, ia memulakan sistem pengebilan perintis dengan membenarkan sistem pembayaran alternatif bersama yang digunakan di Google Play.
Syarikat multinasional Amerika Syarikat itu berdepan tindakan undang-undang di AS, Eropah dan Asia berdasarkan tuduhan yang sama.
Google juga berdepan dakwaan di mana ia secara tidak adil kerana memaksa pengeluar telefon pintar menggunakan enjin cariannya dan aplikasi pelayaran internet Chrome pada peranti yang menggunakan sistem operasi Android. – AFP, 16 September, 2022.
Komen