Putin, Xi Jinping sepakat jalin kerjasama sebagai ‘kuasa besar’


Presiden Russia Vladimir Putin dan rakan sejawatnya dari China Xi Jinping bertemu di luar sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di Uzbekistan, hari ini. – Gambar EPA, 16 September, 2022.

PRESIDEN Russia Vladimir Putin dan rakan sejawatnya dari China Xi Jinping melakukan pertemuan bersemuka pertama sejak bermulanya konflik di Ukraine, hari ini.

Kedua-dua pemimpin itu dilihat memuji hubungan strategik mereka yang menentang negara Barat.

Duduk berhadapan antara satu sama lain di meja bulat sambil diapit pembantu, kedua-dua pemimpin itu bertemu di luar sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di Uzbekistan.

Pertemuan itu adalah sebahagian daripada lawatan pertama Xi ke luar negara sejak pandemik Covid-19.

Sementara itu, bagi Putin pula ia adalah peluang untuk menunjukkan Russia tidak disisihkan walaupun dikenakan sekatan oleh Barat.

“China bersedia untuk melakukan kerjasama dengan Russia untuk mengambil alih peranan kuasa besar, dan memainkan peranan bagi menyuntik kestabilan dan tenaga positif ke dalam dunia yang digegarkan kegawatan sosial,” kata Xi kepada Putin pada pertemuan itu.

Stesen TV rasmi China, CCTV juga memetik Xi sebagai berkata negara tembok besar itu bersedia menjalinkan kerjasama dengan Russia bagi menyokong “kepentingan teras masing-masing”.

Putin mengambil sikap yang jelas terhadap Amerika Syarikat yang mengetuai usaha menyokong Ukraine dan mengenakan sekatan ke atas Russia.

“Percubaan untuk mencipta dunia unipolar baru-baru ini memperoleh bentuk yang sangat buruk dan tidak boleh diterima sama sekali,” kata Putin.

“Kami amat menghargai kedudukan seimbang rakan-rakan China kami berhubung krisis Ukraine,” kata Putin kepada Xi, sambil mengulangi sokongan Moscow kepada China di Taiwan.

“Kami berpegang pada prinsip satu China. Kami mengecam provokasi AS dan satelit mereka di Selat Taiwan,” kata Putin susulan jawatankuasa Senat AS pada Rabu mengambil langkah secara langsung pertama Washington dengan memberikan bantuan ketenteraan berbilion dolar kepada Taiwan. – AFP, 16 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen