Selesaikan isu kestabilan Afghanistan, kata Putin


Presiden Rusia Vladimir Putin menyuarakan kemungkinan pembekalan gas ke Pakistan melalui saluran paip Asia Tengah tetapi isu kestabilan di Afghanistan perlu diselesaikan terlebih dahulu. – Gambar EPA, 16 September, 2022.

PRESIDEN Rusia Vladimir Putin menyuarakan kemungkinan pembekalan gas ke Pakistan melalui saluran paip Asia Tengah tetapi isu kestabilan di Afghanistan perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Perkara itu disuarakan Putin ketika mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif di luar sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di Uzbekistan semalam.

Putin berkata sebahagian infrastruktur bagi menyalurkan gas sudah pun siap, lapor agensi berita Rusia TASS.

“Bekalan gas menerusi saluran paip dari Rusia ke Pakistan boleh dilakukan, bermakna sebahagian daripada infrastruktur sudah pun diwujudkan antara Rusia, Kazakhstan, Uzbekistan. Kita perlu menyelesaikan isu Afghanistan.

“Sudah tentu, akan ada isu membabitkan kestabilan politik, tetapi dengan mengambil kira hubungan baik antara kita dengan rakyat Afghanistan, saya harap masalah ini dapat diselesaikan, Pakistan dilihat dapat mempengaruhi situasi di negara itu,” kata Putin. 

Satu projek utama tertangguh sebelum ini membabitkan kerjasama tenaga Pakistan-Rusia iaitu saluran paip gas “Pakistan Stream” sepanjang 1,100 kilometer.

Saluran itu dijangka mampu membekalkan gas asli cecair (LNG) yang diimport dari bandar pelabuhan selatan Karachi ke Kasur di wilayah Punjab. – Bernama, 16 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen