Korea Selatan denda Google, Meta AS$71 juta


Google didenda 69.2 bilion won (AS$49.7 juta) dan Meta 30.8 bilion won (AS$22.1 juta) oleh Korea Selatan. – Gambar AFP, 16 September, 2022.

KOREA Selatan mendenda Google dan Meta lebih AS$71 juta secara kolektif kerana mengumpul maklumat peribadi pengguna tanpa kebenaran untuk iklan bersasar, kata pihak berkuasa hari ini, denda tertinggi pernah dikenakan negara itu bagi perlindungan data peribadi.

Siasatan ke atas dua gergasi teknologi AS itu mendapati mereka “mengumpul dan menganalisis” data pengguna mereka serta memantau penggunaan laman web dan aplikasi, kata Suruhanjaya Perlindungan Maklumat Peribadi.

Data itu digunakan untuk “mencampuri minat pengguna atau digunakan untuk iklan dalam talian berbayar yang bersasar”, katanya, menambah yang Google dan Meta tidak memaklumkan pengguna di Korea Selatan tentang amalan ini atau mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.

Kesannya, Google didenda 69.2 bilion won (AS$49.7 juta) dan Meta 30.8 bilion won (AS$22.1 juta).

“Ia adalah denda tertinggi kerana pelanggaran Akta Perlindungan Maklumat Peribadi,”kata suruhanjaya dalam kenyataan.

Badan penyelia itu berkata majoriti pengguna di Korea Selatan – 82% untuk Google dan 98% untuk Meta- tidak menyedari mereka membenarkan data tabiat dalam talian mereka dikumpul.

“Boleh dikatakan yang kemungkinan dan risiko pelanggaran hak pengguna adalah tinggi,” kata kenyataan.

Tahun lepas, Korea Selatan mendenda Google hampir AS$180 juta kerana menyalah guna dominasi mereka dalam pasaran sistem operasi mobil dan aplikasi, berkata ia menghalang persaingan dalam pasaran.

Gergasi teknologi AS seringkali dikecam kerana mendominasi pasaran dengan melemahkan pesaing mereka, dan pelbagai kerajaan seluruh dunia berusaha menyekat kuasa besar itu.

Kesatuan Eropah mengenakan denda anti persaingan tinggi kepada Google dan dalam usaha mengenakan tindakan ke atas Apple dan Microsoft. – AFP, 16 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen