Tenaga boleh baharu sumbang 40% jumlah tenaga Kemboja


Perdana Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen berkata tenaga boleh baharu daripada tenaga hidro, tenaga solar dan tenaga biomass, menyumbang 40 peratus daripada jumlah tenaga negara it. – Gambar AFP, 16 September, 2022.

PERDANA Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen berkata tenaga boleh baharu daripada tenaga hidro, tenaga solar dan tenaga biomass, menyumbang 40 peratus daripada jumlah tenaga negara itu, lapor Xinhua pada Khamis.

Dalam kenyataan menerusi rakaman video yang disiarkan pada majlis pembukaan Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga Asean ke-40, yang berlangsung secara bersemuka dan maya di Phnom Penh, Hun Sen berkata Kemboja aktif menyepadukan sumber-sumber tenaga boleh baharunya.

“Pada 2021, tenaga daripada sumber boleh baharu, termasuk tenaga hidro, solar dan biomass, meningkat kepada 40 peratus daripada jumlah tenaga negara itu,” katanya. 

“Dari segi kapasiti tenaga daripada sumber tenaga Kemboja, bahan tenaga boleh baharu menyumbang sebanyak 55 peratus daripada kapasiti tenaganya,” katanya.

Permintaan ke atas tenaga di Kemboja melonjak kepada 4,014 megawatts (MWs) pada 2021. Sejumlah 3,033 MWs dijana menerusi empangan elektrik hidro tempatan, loji tenaga arang batu, loji tenaga dijana diesel. loji tenaga solar serta loji tenaga biomass, dan 981 MWs lagi diimport dari negara jiran Thailand, Laos dan Vietnam, menurut Pihak Berkuasa Elektrik Kemboja.

Hun Sen berkata Kemboja akan terus memberi tumpuan ke atas pembangunan kecekapan tenaga dan tenaga oleh baharu pada tahap tertinggi dalam sistem bekalan tenaga Kemboja, selari dengan pengurangan dalam pembangunan sumber tenaga yang menggunakan bahan api fosil seperti arang batu dan minyak. – Bernama, 16 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen