Pakatan yakin dapat kekal Setiawangsa walau mencabar


Diyana Ibrahim

Pakatan Harapan yakin akan dapat mempertahankan kerusi Setiawangsa yang kini tidak lagi dianggap sebagai kerusi selamat Umno, terutama dalam pertembungan pelbagai penjuru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2022.

PAKATAN Harapan yakin akan dapat mempertahankan kerusi Setiawangsa yang kini tidak lagi dianggap sebagai kerusi selamat Umno, terutama dalam pertembungan pelbagai penjuru.

Ahli Parlimennya, Nik Nazmi Nik Ahmad memberitahu The Malaysian Insight, pertandingan kali ini bagaimanapun tetap mencabar dengan saingan PN di kerusi majoriti Melayu itu.

“Setiawangsa ini memang dulu kerusi Umno antara kubu kuat mereka di Wilayah Persekutuan, tapi berdasarkan gerak kerja kita, kita mampu pertahankan kerusi dua penjuru atau tiga penjuru.

“Selain Umno kita nampak ada pertembungan dengan Bersatu sebab mereka ada juga gerak kerja sikit di Setiawangsa, itu yang kita nampak bakal beri saingan juga.

“Tapi seperti yang saya kata saya yakin kita boleh pertahankan kerusi itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata kepelbagaian latar belakang penduduk menjadi cabaran kerana sokongan mereka tidak lagi terhad kepada parti semata-mata.

Kelompok pengundi itu dari pelbagai tingkat ekonomi selain menempatkan kem tentera dan pusat latihan polis.

“Undi mereka atas banyak faktor bukan kerana parti sahaja tapi soal ekonomi, soal periuk nasi, alam sekitar dan pembangunan turut mempengaruhi undi mereka,” katanya.

Untuk meraih keyakinan pengundi itu, beliau menjadi antara sebilangan kecil ahli Parlimen mengisytiharkan harta secara sukarela sejak tahun 2017.

“Ini antara perkara yang penduduk sini boleh menilai bagaimana saya menjaga integriti dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat,” katanya.

Dalam PRU14 Nik Nazmi memenangi kerusi Setiawangsa dengan majoriti 14,372 undi dalam saingan tiga penjuru menentang Zulhasnan Rafique dari BN dan Ubaid Abd Akla dari PAS.

Seramai lebih 17,000 pengundi dalam pilihan raya itu terdiri dari 62% adalah pemilih Melayu, 26% Cina, dan 10% India.

Dalam PRU13, BN berjaya menguasai Setiawangsa dan juga kawasan yang berjiran, Titiwangsa dengan majoriti kecil, 1,390 dan 866 undi.

Hanya dua kerusi tersebut dapat dikawal BN dari 11 kerusi Kuala Lumpur pada waktu itu, yang kemudiannya terlepas dalam PRU14 ekoran penolakan pengundi dan skandal 1MDB.

Pemerhati politik meramalkan kerusi itu akan menjadi antara medan perebutan undi Melayu dalam PRU15 dan PH berdepan dengan risiko kerana undinya berpecah selepas Bersatu keluar gabungan.

PN, Bersatu parti underdog

Mengulas gerak kerjanya di Setiawangsa, Nik Nazmi berkata berkata beliau antara lain menyalurkan bantuan untuk pelajar kembali ke sekolah melalui Projek Program Rakyat (PPR).

Selain itu beliau juga menumpukan program riadah seperti kelab bola sepak komuniti digelar Setiawangsa Rangers.

“Kita juga membawa isu pembangunan, seperti memberi sokongan kepada penduduk mengenai bantahan keputusan Dewan Bandar Kuala Lumpur mengenai pembinaan projek kondominium mewah di sekitar hutan simpan Bukit Dinding,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Setiawangsa, Nik Nazmi berkata beliau sudahpun menyatakan hasrat untuk terus diberi mandat memegang kerusi itu.

“Tapi saya serahkan keputusan kepada pucuk pimpinan. Tapi saya sudah kali-kali menyatakan hasrat kepada pucuk pimpinan hasrat saya untuk terus kekal di kerusi ini,” katanya.

Di pihak Bersatu pula, parti itu mengakui gabungan Perikatan Nasional (PN) masih lagi dianggap underdog dalam persaingan merebut kerusi Setiawangsa.

Ketua bahagian Bersatu di situ Mohd Ikhmal Abu Bakar berkata mereka bukan pilihan  dan membayangkan PN sukar menewaskan dengan melihat pola pengundian dan latar pengundi.

“Disebabkan kerusi Setiawangsa ini sokongannya banyak kepada Umno dan PH jadi Bersatu ini dilihat sebagai parti underdog

“Tapi kita yakin kita tetap akan beri saingan dan ketika ini kita sedang giat memperkemaskan jentera menghadapi PRU15,” katanya.

Oleh itu, Bersatu menumpukan kepada pengundi baharu yang dianggarkan bertambah sehingga 20,000 orang di kerusi Setiawangsa, kata Mohd Ikhmal.

“Dengan jumlah pengundi baharu ini, kalau Umno istihar PRU sekarang belum tentu Umno memang.

“Sebab mereka ini pengundi atas pagar, dan mereka akan pilih parti mana mereka nak, bukanlah macam dulu,” katanya.

Bekas ahli Parlimen Setiawangsa Ahmad Fauzi Zahari  juga senada dan mengakui pola pengundian pengundi berubah sejak Umno gagal mempertahankan kerusi itu dalam PRU14.

Ahmad Fauzi yang menjadi wakil rakyat sepenggal selepas menang pada PRU13 berkata faktor calon dilihat antara penentu sokongan pengundi Setiawangsa pada PRU15.

“Kerusi Setiawangsa ini cerminan kepada negara Malaysia berdasarkan komposisi penduduknya, kerana ia di kawasan bandar jadi pengundi lebih celik dan cakna dan menilai segala polisi kerajaan.

“Pengundi Setiawangsa ini mereka akan lihat apa isu terbesar dalam kehidupan, kalau kerajaan buat kerja bagus dan mereka tengok akan dapat manfaat dari polisi yang dibuat kerajaan jadi mereka akan menyokong dan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Ditanya adakah antara penyebab kekalahan BN pada PRU14 kerana keputusan parti tidak menamakannya sebagai penyandang, beliau enggan mengulas hal tersebut.

Namun beliau yakin BN berpeluang merebut kembali kerusi Setiawangsa memandangkan prestasi PH juga tidak baik terutama sewaktu menjadi kerajaan selama 22 bulan.

Selain itu, bekas perdana menteri Najib Razak juga sudahpun menjalani hukuman penjara atas tuduhan melibatkan SRC International yang berkait dengan skandal 1MDB, katanya.

“Saya yakin kerana penilaian pengundi Setiawangsa melihat kepada isu terbesar dan kini  kalau kata pasal kes 1MDB, dah ada penghakiman.

“Dan kalau nak kaitkan dengan Najib Razak, beliau sudah dihukum. Jadi serangan itu tidak ada lagi kepada BN,” katanya.– 16 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen