Vietnam mahu jadikan potensi eksport buah-buahan sebagai kuasa ekonominya 


Vietnam mengutip hampir AS$2 bilion hasil eksport buah-buahan dan sayur-sayuran sepanjang tujuh bulan pertama 2022.– Gambar EPA, 15 September, 2022.

BANYAK buah-buahan yang ditanam di Vietnam berjaya memasuki pasaran bernilai tinggi dan mencabar, dan negara itu sentiasa berusaha untuk memastikan eksport buah-buahannya menjadi sebagai kuasa ekonomi.

Kira-kira setengah abad lepas, keluarga di Vietnam hanya mampu bermimpi mempunyai makanan yang mencukupi, hidup dalam kesempitan selain makanan tidak seimbang. Ramai mungkin tidak terfikir bahawa pada suatu hari, mereka dapat menyediakan makanan yang mencukupi, berzat selain selamat.

Negara di Asia Tenggara itu mengutip hampir AS$2 bilion hasil eksport buah-buahan dan sayur-sayuran sepanjang tujuh bulan pertama 2022, menurut agensi berita Vietnam (VNA).

China merupakan pengimport terbesar produk Vietnam tahun ini. Walaupun penghantaran ke negara jiran itu menyaksikan penurunan ekoran peraturan yang lebih ketat ke atas makanan import, buah-buahan  dan sayur-sayuran Vietnam mencatat pertumbuhan kukuh di pasaran utama lain seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun dan Australia.

Banyak pengeksport kini beralih kepada pasaran Eropah kerana produk mereka tidak dikenakan cukai mengikut Perjanjian Perdagangan Bebs EU-Vietnam (EVFTA), dan pasaran ini menyaksikan permintaan yang semakin meningkat ke atas buah-buahan tropika dan sayur-sayuran, laporan agensi itu.

Data Jabatan Kastam menunjukkan nilai perolehan eksport buah-buahan dan sayur-sayuran Vietnam ke Eropah pada 2021 sebanyak AS$303 juta, meningkat 17.4 peratus tahun ke tahun.

Rundingan juga sedang dijalankan untuk menambah buah-buahan segar lain ke pasaran baharu.

Bagi merebut peluang itu, ramai penduduk tempatan kini bersedia untuk membuka kawasan penanaman baharu.

Wilayah Mekong Delta, Tien Giang, wilayah penanaman buah-buahan terbesar Vietnam, mahu meluaskan ladang bagi membantu menambah pendapatan dan eksport dalam kalangan peladang. Wilayah itu sudah banyak mengubah tanaman padi yang kurang berhasil kepada ladang buah-buahan bernilai tinggi, yang sesuai dengan air masin serta kemarau.

Wilayah tanah tinggi Gia Lai pula menjadikan buah markisa sebagai antara empat buah-buahan utamanya, menurut VNA. Ia merancang meluaskan kawasan ladang buah markisa kepada 20,000ha menjelang 2025, melonjak lima kali ganda berbanding penghasilan semasa.

Bagi memastikan kemampanan eksport buah-buahan dan meningkatkan lagi penembusannya di pasaran tradisi dan mewah, pengeluaran selamat menjadi faktor utama, yang akan mengukuhkan kedudukan pertanian negara itu sebagai pengeksport utama buah-buahan segar dunia.

Pada 2021, Jepun meningkatkan pemeriksaan ke atas durian yang diimport dari Vietnam selepas didapati mengandungi lebihan sisa racun perosak, sekali gus menyukarkan buah-buahan negara itu memasuki pasaran Vietnam.

Pasaran besar lain seperti US dan Eropah menekankan pematuhan kepada Amalan Pertanian Baik Global (GAP) selain menetapkan had sisa kimia yang dibenarkan ke atas durian Vietnam. Durian yang tidak memenuhi syarat, berisiko ditolak.

Ini boleh menyebabakn kerugian besar kepada peladang dan pengekport, seterusnya ke atas ekonomi dan reputasi Vietnam.

Selain itu, masa dan peruntukan diperlukan untuk mematuhi peraturan pengeluaran selamat memandangkan agak sukar untuk memperoleh kepercayaan dalam pasaran eksport jika syarat itu tidak dipenuhi, katanya.

Bank Dunia melaporkan mengenai pentingnya keselamatan makanan, dengan negara yang mencatatkan insiden keselamatan makanan yang tinggi, mungkin mengalami kerugian ekonomi yang besar selain hilang peluang dalam perdagangan global. – Bernama, 15 September, 2022.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen