Presiden Ukraine terbabit kemalangan


Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky terbabit dalam kemalangan di Kyiv awal pagi ini tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan. – Gambar EPA, 15 September, 2022.

PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelensky terbabit dalam kemalangan ketika melalui Kyiv, namun tidak mengalami sebarang kecederaan, kata jurucakapnya pada awal pagi ini.

“Di Kyiv, sebuah kereta bertembung dengan kereta presiden Ukraine dan kenderaan pengiring,” kata Sergiy Nikiforov dalam satu kenyataan di Facebook pada 1.22 pagi waktu tempatan.

“Pasukan perubatan yang mengiringi presiden memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa dan memindahkannya ke dalam ambulans.

“Presiden diperiksa doktor, tiada kecederaan serius dikesan. Pegawai penguatkuasa undang -undang akan menyiasat kemalangan itu,” katanya.

Zelensky berkata beliau baru saja kembali dari kawasan sekitar Kharkiv, sambil menambah hampir seluruh rantau itu tidak diduduki selepas serangan untuk mengusir tentera Russia.

“Ia adalah pergerakan tentera kita yang belum pernah terjadi sebelumnya. Ukraine sekali lagi berjaya melakukan apa yang difikirkan mustahil oleh ramai,” kata Zelensky.

Perang di Ukraine memasuki fasa baharu, dengan tenteranya mengusir tentera Russia yang dilihat serius mencabar cita-cita Kremlin untuk menakluki seluruh wilayah Donbas. – AFP, 15 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen