SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (Opec), Haitham Al-Ghais, pada Rabu berkata blok itu dan sekutunya akan terus “memantau” sebarang perubahan dalam pasaran minyak global dan gas, semasa lawatannya ke Venezuela.
Mesyuarat Menteri-menteri Opec dan bukan Opec “bersedia untuk bersidang bagi menyatakan persetujuan mereka mengenai sebarang perubahan dalam pasaran,” kata Al-Ghais, menurut Xinhua.
Al-Ghais pada Rabu menghadiri majlis rasmi sempena ulang tahun ke-62 Opec, bersama Menteri Minyak Venezuela Tareck El Aissami serta para pegawai kerajaan Venezuela.
Pasaran menunjukkan tanda-tanda “optimistik”, seperti unjuran Opec bahawa ekonomi global akan berkembang sebanyak 3.1 peratus pada 2022, katanya.
Namun peristiwa geopolitik yang berlaku di Eropah dan bahagian lain di dunia baru-baru ini, bagaimanapun, mewujudkankan “sekatan” yang “sangat berbahaya kepada pengeluar dan pengguna,” kata ketua Opec itu.
Menurut perangkaan organisasi itu, permintaan minyak global akan menyaksikan “peningkatan 13 juta tong sehari sebelum mencapai 110 juta tong sehari pada 2045,” kata Al-Ghais.
Oleh itu, Venezuela kekal memainkan “peranan utama” dalam tenaga global pada masa depan memandangkan ia mempunyai rizab minyak mentah terbesar di dunia, dengan anggaran kira-kira 300 bilion setong.
El Aissami mengucapkan terima kasih kepada Al-Ghais atas lawatannya dan menegaskan negaranya akan melaksanakan “semua komitmen dan usaha yang diperlukan” untuk terus menyokong matlamat strategik Opec.
Walaupun berdepan keadaan sukar akibat pandemik Covid-19, Opec dan rakan kongsinya telah memainkan peranan penting dalam menjamin “kestabilan ekonomi” dan pasaran minyak mentah, kata El Aissami. – Bernama, 15 September, 2022.
Komen