PM India dan Pakistan hadiri sidang SCO di Uzbekistan


Sidang kemuncak SCO tahun ini akan mengeluarkan Deklarasi Samarkand, yang bakal menjadi pengisytiharan politik komprehensif mengenai kedudukan SCO dalam pelbagai aspek. – Gambar EPA, 15 September, 2022.

PERDANA menteri India dan Pakistan menghadiri sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) selama dua hari bermula Khamis di Uzbekistan.

Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif diiringi Menteri Luar Bilawal Bhutto Zardari menghadiri mesyuarat tahunan Majlis Ketua-ketua Negara di bandar Samarkand, menurut Kementerian Luar Pakistan pada Rabu.

Shehbaz juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin lain, menurut kementerian itu.

Sementara itu, Perdana Menteri India Narendra Modi akan menyertai sidang kemuncak itu dan mengadakan beberapa mesyuarat dua hala di luar sidang berkenaan, menurut Kementerian Hal Ehwal Luar India.

India dan Pakistan menyertai SCO pada 2017.

SCO ditubuhkan pada 2001 dengan China, Rusia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Uzbekistan sebagai pengasas.

“Sidang kemuncak tahun ini akan mengeluarkan Deklarasi Samarkand, yang bakal menjadi pengisytiharan politik komprehensif mengenai kedudukan SCO dalam arena politik antarabangsa, ekonomi dan pelbagai aspek lain,” kata Setiausaha Agung SCO, Zhang Ming dalam satu wawancara.

Para pemimpin juga dijangka membincangkan mengenai perubahan iklim, rantaian bekalan global, serta isu keselamatan tenaga dan makanan. – Bernama, 15 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen