Malaysia tidak akan anjur F1 dalam masa terdekat


Kali pertama litar Sepang menganjurkan perlumbaan itu pada 1999, dengan perlumbaan terakhir pada 2017. – Gambar EPA, 15 September, 2022.

FORMULA Satu (F1) dijangka tidak akan kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam masa terdekat, kata ketua eksekutif litar Azhan Shafriman Hanif.

Ia susulan negara ini masih dalam proses pemulihan ekonomi akibat pandemik Covid-19, tetapi mungkin akan mempertimbangkan untuk kembali menganjurkan perlumbaan itu selepas dua atau tiga tahun, kata Azhan.

Kali pertama litar Sepang menganjurkan perlumbaan itu pada 1999, dengan perlumbaan terakhir pada 2017.

“Buat masa ini, jawapannya adalah tidak, bukan dalam masa terdekat. Mungkin dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi apabila ekonomi sudah stabil,” kata Azhan ketika ditanya bila Malaysia bercadang untuk menganjurkan kembali perlumbaan F1.

Menurutnya, sebelum ini Malaysia menganjurkan F1 kerana mahu memperkenalkan negara di mata dunia menerusi sukan pelancongan.

Namun untuk kembali menganjurkannya, kerajaan perlu mengkaji manfaatnya untuk negara.

Azhan dan beberapa pegawai litar berada di Singapura minggu ini bagi mempromosi perlumbaan MotoGP Petronas yang akan berlangsung di Sepang pada 21 hingga 23 Oktober ini.

Ia perlumbaan MotoGP pertama di Sepang selepas dua tahun dibatalkan akibat pandemik.

Spekulasi berkenaan kepulangan F1 ke Malaysia diperkatakan selepas Russia digugurkan daripada kalendar perlumbaan.

Singapura menganjurkan perlumbaan F1 di litar jalan raya pada sebelah malam dari 30 September sehingga 2 Oktober.

Menurut Azhan, Singapura membuat keputusan tepat untuk memasukkan elemen hiburan dalam perlumbaan dengan turut menganjurkan konsert dan pesta.

“Jika Formula Satu ingin kembali ke Malaysia, ia perlu disokong perkara lain, bukan hanya perlumbaan. Perlu ada tujuan lain mengapa kami menganjurkan Formula Satu,” katanya. – AFP, 15 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen