PEMIMPIN daripada pelbagai parti politik merakamkan ucapan takziah dan memberi penghormatan kepada mendiang bekas presiden MIC S Samy Vellu yang meninggal dunia pagi tadi.
Pengguna media sosial juga melahirkan rasa sedih mereka dan mengingati kepimpinan serta pencapaian tertinggi MIC itu semasa memegang jawatan awam.
Kesemua mereka bersetuju kematian pemimpin itu adalah satu kehilangan kepada masyarakat dan negara dengan ada yang mengenang bagaimana bekas menteri kerja raya itu tidak pernah berdendam terhadap mana-mana musuhnya.
Presiden MCA Wee Ka Siong turut menzahirkan ucapan takziah melalui Facebooknya.
Beliau berkata pemergian bekas menteri kerja raya itu merupakan satu kerugian besar negara dan masyarakat.
“Pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar buat masyarakat dan negara.
“Jasa dan pengorbanan mendiang selama menjadi Presiden MIC serta menteri Kabinet akan terus dikenang,” kata menteri pengangkutan itu.
Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki merakamkan kesedihannya bagi pihak seluruh keluarga Pemuda Barisan Nasional.
“Sumbangannya kepada negara dan masyarakat India di negara ini begitu besar hingga dihormati kawan dan lawan juga antara menteri Kabinet paling lama iaitu 25 tahun berkhidmat.
“Moga segala perjuangan untuk mengangkat martabat kaum India di negara ini terus memugar dan disemangati oleh generasi pewaris perjuangannya dalam MIC masa kini,” katanya.
Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng mengucapkan takziah dan berkata Samy Vellu sentiasa menghormati bapanya Lim Kit Siang dan juga menjelaskan bagaimana bekas ahli Parlimen Sungai Siput itu akan “menggunakan” beliau untuk mendapatkan lebih banyak peruntukan bagi masyarakat India daripada kerajaan.
“Kenangan saya yang paling kekal di ingatan adalah rasa hormatnya yang tinggi kepada Kit Siang yang sentiasa bertanya tentang beliau dan akan bersuara untuknya dalam Kabinet.
“Beliau juga “merekrut” saya untuk mengkritiknya mengenai isu-isu India di Parlimen dengan mendedahkan secara senyap-senyap maklumat yang diperlukan supaya beliau boleh meminta lebih banyak lagi bagi pihak masyarakat India dalam Kabinet.
“Beliau kemudian akan memberi saya tanda okey selepas mendapat peruntukan tambahan,” kata ahli Parlimen Bagan itu. – 15 September, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen