PM Sweden letak jawatan


PM Sweden Magdalena Andersson mengumumkan akan meletak jawatan selepas blok berhaluan kanan memenangi pilihan raya Ahad lalu. – Gambar EPA, 15 September, 2022.

PERDANA Menteri Sweden Magdalena Andersson mengumumkan akan meletak jawatan selepas blok berhaluan kanan memenangi pilihan raya Ahad lalu.

Daripada 349 kerusi Parlimen Sweden, blok berhaluan kanan dijangka memenangi 176 kerusi, sebahagiannya disebabkan peningkatan kerusi dimenangi parti sayap kanan Demokrat Sweden (SD), selepas lebih 99% kawasan selesai kiraan undi.

Bercakap pada sidang media, Andersson yang juga pemimpin parti Demokrat Sosial berkata ia kemenangan majoriti tipis, namun tetap memiliki majoriti.

“Esok saya akan menyerahkan peletakan jawatan saya sebagai perdana menteri dan tanggungjawab bagi proses seterusnya akan diserahkan kepada speaker,” katanya.

Tidak pernah berlaku sebelum ini kerajaan Sweden terpaksa bergantung kepada sokongan parti SD yang memenangi undian, selepas memperoleh lebih daripada tiga mata peratusan.

Dengan majoriti besar, parti itu muncul sebagai yang kedua terbesar di Sweden di belakang Demokrat Sosial, yang sudah mendominasi politik Sweden sejak 1930-an.

Bagaimanapun, jawatan perdana menteri kemungkinan besar akan diserahkan kepada pemimpin parti Moderate, Ulf Kristersson selepas pemimpin SD, Jimmie Akesson gagal menyatukan keempat-empat parti untuk mengetuai kerajaan.

Kristersson, bekas ahli gimnastik, mengetuai pusingan U untuk partinya apabila memulakan rundingan kerjasama pada 2019 dengan SD sebelum mengukuhkan kerjasama mereka.

Demokrat Kristian dan Liberal, kemudian mengikutinya.

Secara rasmi, proses pertukaran politik hanya boleh bermula selepas peletakan jawatan Anderson hari ini.

Kemudian, speaker Parlimenboleh memberikan tugas kepada Kristersson membentuk majoriti antara empat parti, sekaligus membuka tempoh rundingan.

Pemilihan ketua kerajaan yang baharu mesti ditentukan selewat-lewatnya sebelum 27 September ini, iaitu sebaik Parlimen dibuka semula. – AFP, 15 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen