Penyany R Kelly bersalah tuduhan pornografi kanak-kanak


Penyanyi R&B R Kelly disabitkan bersalah atas tuduhan pornografi kanak-kanak dan beberapa pertuduhan lain semalam di Chicago. – Gambar EPA, 15 September, 2022.

PENYANYI R&B R Kelly yang sedang menjalani hukuman penjara 30 tahun atas kesalahan seks, disabitkan bersalah atas tuduhan pornografi kanak-kanak dan beberapa pertuduhan lain semalam, selepas sebulan perbicaraan diadakan di tempat asalnya, Chicago.

Kelly, atau nama penuhnya Robert Sylvester Kelly disabitkan bersalah atas tiga tuduhan menghasilkan pornografi kanak-kanak dan tiga pertuduhan memujuk kanak-kanak bawah umur, lapor Chicago Tribune.

Beliau yang pernah tiga kali memenangi anugerah Grammy, dibebaskan oleh juri persekutuan atas tujuh pertuduhan lain termasuk menghalang keadilan pada perbicaraan sebelum ini, lapor akhbar itu.

Kelly dan dua individu lain didakwa menipu dalam kes perbicaraan pornografi kanak-kanak membabitkan penyanyi itu pada 2008, di mana juri memutuskan beliau tidak bersalah.

Bekas pengurus Kelly, Derrel McDavid dan seorang bekas pekerja Milton “June” Brown dibicarakan bersama penyanyi itu dalam perbicaraan terbaru dan turut dibebaskan atas tuduhan menghalang keadilan.

Panel 12 juri mengambil masa 11 jam selama dua hari untuk menyampaikan keputusan itu, di mana ia akan menambah lagi masa hukuman penjara yang sedang dijalani Kelly.

Seorang mangsa bawah umur enggan memberi keterangan pada perbicaraan 2008 susulan dikatakan diugut dan diberi rasuah, tetapi kali ini seorang wanita berusia 37 tahun memberi keterangan.

Sedutan daripada video menunjukkan Kelly melakukan penderaan seksual kepada kanak-kanak perempuan semuda usia 14 tahun ditayangkan kepada juri ketika perbicaraan.

Kelly disabitkan bersalah di New York pada September tahun lalu kerana mengambil remaja dan wanita untuk seks.

Penyanyi lagu popular “I Believe I Can Fly” itu didapati bersalah atas lapan tuduhan perdagangan seks dalam kes di New York. – AFP, 15 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen