Rina jawab kritikan berhubung video tular


Raevathi Supramaniam

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun berkata pengkritiknya perlu melihat kandungan program yang dianjurkan kementerian.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2022.

MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun mempertahankan diri atas kritikan terhadap video bersama pelakon Rosyam Nor yang disifatkan sebagai menjatuhkan maruah wanita.

Video berdurasi 40 saat itu menampilkan menterinya Rina Harun dan Rosyam Nor yang mana pelakon itu mengkritik wanita sebagai “lambat”, bertujuan untuk mempromosikan program kementerian.

Rina meminta mereka yang mengkritiknya supaya melihat kandungan program itu.

“Saya kira dalam waktu sekarang kita jangan nak politikkan semua benda. Kena lihat isi kandungan program tersebut. Apa penting ramai (wanita) memerlukan pembelaan dan perlu dibantu,” katanya kepada pemberita.

Beliau turut menggesa Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh yang mendesaknya meletakkan jawatan untuk berganding bahu dengannya membantu wanita.

“Saya harap kalau Hannah Yeoh atau sesiapa sahaja nak bantu kita alu-alukan untuk sama-sama bantu wanita yang memerlukan. Bukan tahu cakap sahaja tetapi tidak melaksanakan,” katanya.

Video itu telah disifatkan menghina dan merendahkan martabat wanita, dengan beberapa komen yang mengkritik bahawa tiada apa yang dilakukan sejak bertahun-tahun untuk memerangi keganasan terhadap wanita.

“Rugi semua usaha kementerian dalam isu menentang keganasan terhadap wanita. Bagai mencurah air ke daun keladi. Kesian,” kata Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said menerusi Twitter.

Azalina, yang juga bekas timbalan speaker Dewan Rakyat, berkata adalah lebih baik Rina membuang perkataan “wanita” daripada nama kementerian.

“YBM, elok @KPWKM ditukar kepada “Kementerian Pembangunan Keluarga”, buang je perkataan “wanita”. Senang kerja,” katanya.

Video itu dimuat naik di akaun TikTok Rina semalam dan ditonton lebih 210,000 kali.

Video itu bertujuan memperomosikan program keusahawanan kementerian untuk wanita.

Dalam video itu, Rosyam berkata wanita selalu lambat dan menggesa mereka untuk hadir ke program hari ini.

“Wanita ni selalu lambat. Bangkit, bangun tidur,” katanya dalam video itu.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh turut mengecam Rina berhubung video itu di media sosial.

“Ini bukan kali pertama Rina Harun menggunakan publisiti murahan yang menjatuhkan imej jawatan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat,” katanya.

“Yang paling teruk apabila Rina dan pegawai Yayasan Kebajikan Negara hanya berdiri dan tersengih-sengih semasa kata-kata itu digunakan di pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Rina Harun tidak dibayar gaji beribu-ribu setiap bulan oleh rakyat hanya untuk beliau membuat program. Rakyat bayar gaji Menteri bukan untuk Rina buat kerja event organiser. Rina tidak perlu membuat kerja Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

“Mereka lebih mahir dalam bab ini. Sebut mengenai bisnes, Rina sendiri mempunyai kes mahkamah sebelum ini dan saya berpendapat, lebih baik jika Rina tidak mengajar wanita lain untuk ‘bangkit’ dalam bisnes,” katanya.

Tambahnya, Rina sepatutnya dipecat berhubung isu terbaharu itu.

“Kalau Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob betul-betul serius mengenai perjuangan Keluarga Malaysia, gugurkanlah menteri sebegini yang memperlekehkan peranan wanita.

“Yang harus ‘bangun daripada tidur’ adalah Rina Harun dan timbalan menteri beliau. Tiga tahun sudah melebihi probation period untuk mereka ‘bangkit’ membuat kerja.” – 14 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen