BEKAS perdana menteri Najib Razak mungkin diserang strok kerana sejarah ulser perutnya yang teruk, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.
Menjelaskan keadaan kesihatan Najib hari ini, peguam bela Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Ketua Hakim Collins Lawrence bahawa ahli Parlimen Pekan itu pernah berada dalam keadaan kritikal, malah menyifatkannya seperti “bom jangka”.
Malah, beliau berkata keadaan Najib menyebabkan beliau mengalami kehilangan darah yang banyak, yang memerlukan pemindahan darah sebanyak lima liter.
“Anak guam saya mempunyai sejarah ulser, ulser yang sangat teruk,” kata Shafee kepada mahkamah.
“Saya rasa tiga bulan lalu, beliau tidak sedar berada dalam tahap yang sangat kritikal yang mana beliau kehilangan banyak darah tanpa mengetahui sebabnya.
“Apabila diperiksa, paras hemoglobinnya begitu rendah.
“Beliau umpama bom jangka. Beliau akan diserang strok sepenuhnya tetapi mereka (doktor) berjaya meredakan keadaan dan terpaksa mengepam lima liter darah,” tambah peguam bela itu.
Hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Najib Razak untuk minggu ini selepas bekas perdana menteri itu dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Shafee berkata walaupun pihak hospital telah mengeluarkan sijil sakit kepada Najib yang sah hari ini dan esok, beliau tidak pasti bila ahli Parlimen Pekan itu akan dibenarkan keluar.
Najib telah dimasukkan ke HKL sejak petang Isnin.
Shafee menjelaskan lagi kepada mahkamah bahawa sejak Najib dipenjarakan, doktor telah menemui beberapa ulser baru di kawasan perutnya.
“Atas sebab itu, beliau perlu diuji untuk memastikan tekanan darah tidak ada kaitan dengan itu (ulser) tetapi mungkin sebab ubat-ubatan semata-mata,” katanya.
Ketika ditanya oleh Hakim Sequerah sama ada ulser boleh menyebabkan kesan buruk, Shafee menjelaskan bahawa ulser itu boleh menjadi salah satu daripada dua punca penyebab tekanan darah tinggi Najib.
Katanya ia mungkin disebabkan oleh pertukaran ubat.
“Ia boleh. Memandangkan fakta bahawa tiada bukti pendarahan sebenar, itulah satu-satunya sebab yang boleh diberikan.
“Tetapi mereka (doktor) sedang menjalankan pemeriksaan untuk mengetahui sebab lain,” jelasnya.
Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Beliau sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di mahkamah tertinggi dalam kes SRC International. – 14 September, 2022.
Komen