DR Mahathir Mohamad meluahkan kekecewaannya susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari bahawa Perdana Menteri Najib Razak bukan penjawat awam, dan oleh itu kebal daripada tuntutan saman atas dakwaan salah laku dalam jawatan awam.
Permohonan bekas perdana menteri itu untuk membuat rayuan ditolak pagi ini oleh panel tiga hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Raus Sharif yang mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.
“Saya tidak faham (keputusan itu). Dia penjawat awam, kalau tidak dia tidak berada di mana dia ada sekarang kerana apa saja dia buat membabitkan kerajaan dan orang awam.
“Saya sangat kecewa dengan keputusan itu,” kata Dr Mahathir memberitahu wartawan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Menjawab satu soalan, Dr Mahathir menjawab: “Siapa hakimnya? Saya ragu-ragu tentang sah atau tidak kedudukannya. Saya fikir dia tidak patut mendengar kes ini.”
Dr Mahathir terdahulu memohon untuk Raus menarik diri daripada kes itu, memandangkan pengerusi Pakatan Harapan itu pada September tahun lalu memfailkan semakan kehakiman mencabar keperlembagaan pelantikan Raus sebagai ketua hakim.
Hari ini, Raus dalam keputusannya berkata rayuan Dr Mahathir tidak ada merit dan gagal memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Seksyen 96 Akta Kehakiman.
Dr Mahathir dan bekas timbalan ketua Umno Bahagian Batu Kawan Khairuddin Abu Hassan memfailkan saman pada Mac 2016, memohon deklarasi yang Najib melakukan perbuatan salah laku dalam jawatan awam dan pentadbiran membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sementara itu, Dr Mahathir juga mengulas berkenaan rayuan permohonan interim pemimpin DAP Tony Pua yang juga gagal pada 14 Februari lalu apabila Mahkamah Rayuan memutuskan perdana menteri tidak melakukan sebarang salah laku berkaitan 1MDB.
Hakim Yaacob Md Sam berkata Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, peguam negara, polis, SPRM dan Bank Negara membersihkan Najib daripada sebarang tuduhan berkaitan skandal 1MDB.
“Bukti berkaitan 1MDB tidak dibawa ke mahkamah dan kepada orang awam,” kata Dr Mahathir kepada wartawan hari ini.
“Masyarakat mahu tau, ada tiga laporan terhadap Najib, terhadap 1MDB oleh Bank Negara, SPRM dan PAC.
“Kenapa semua laporan ini disembunyikan? Tindakan jenayah oleh mana-mana penjawat awam tidak membentuk rahsia rasmi. Rahsia rasmi bukan tentang akta jenayah.
“Jadi salah untuk meletakkan tiga laporan itu di bawah Akta Rahsia Rasmi. Ini kes menyembunyikan dan jika anda sembunyi bukti jenayah, anda lakukan jenayah,” kata Dr Mahathir. – 27 Februari, 2018.
Komen